Minda Mujaddid

29 November, 2005

SIFAT-SIFAT PERJUANGAN KEBENARAN

Perjuangan Islam atau perjuangan kebenaran itu sifatnya sama, dari dahulu hingga sekarang. Tempatnya berubah, orang atau bangsanya berubah, masa dan eranya juga berubah tetapi sifatnya tetap sama. Apa yang berlaku kepada pejuang-pejuang Islam atau pejuang-pejuang kebenaran pada setiap zaman juga sama. Ini kerana apa yang diperjuangkan ialah Tuhan yang sama, prinsip yang sama dan syariat yang sama.

Oleh yang demikian perjuangan Islam atau perjuangan kebenaran itu, kalau ianya benar-benar mengikut lunas-lunas dan landasan Islam yang sebenar dan dilaksanakan tepat mengikut cara yang Allah mahu, maka sifatnya pasti sama dengan perjuangan Islam di sepanjang zaman. Kalau ini tidak berlaku, maka sudah tentu ada yang tidak kena dengan perjuangan tersebut ataupun perjuangan tersebut tidak tepat dengan apa yang dikehendaki oleh Allah Taala.

Di antara sifat-sifat perjuangan itu ialah:

• Sentiasa diuji
Ujiannya berat. Namun demikian, ia tidak menjejaskan perjuangan. Ia setakat menapis dan menyaring pejuang-pejuangnya untuk menambah kekuatan.

• Mendapat bantuan ghaib
Berlaku berbagai-bagai bantuan bagi mengatasi ujian-ujian tersebut seperti Firasat, Yakazah, Hatif dan sebagainya yang berbentuk Khawariqul `adah (perkara yang mencarik adat atau di luar logik). Bagi para rasul dinamakan mukijzat, bagi para wali dinamakan karamah dan bagi orang-orang soleh dinamakan maunah. Maunah selalunya disandarkan kepada karamah. Bantuan-bantuan inilah merupakan hiburan di dalam menempuh ujian yang menimpa.

• Berlaku tapisan dan saringan
Pada pertengahan jalan dalam perjuangan, akan terdapat ramai pengikut. Pengikut yang ramai ini akan tertapis dan tersaring hingga tinggal sedikit. Kemenangan akan berlaku selepas saringan ini. Perjuangan kebenaran tidak pernah menang ketika mereka ramai.

• Tuhanlah yang mengalahkan musuh
Yang mengalahkan musuh bukan para pejuang tetapi Tuhan sendiri. Tuhanlah yang mengalahkan musuh supaya rasa kehambaan tetap kekal di hati para pejuang, dan Allah itu nampak Hebat dan Penuh Berkuasa.

• Faktor kemenangan adalah iman dan taqwa
Dalam perjuangan Islam atau kebenaran ada usaha lahir dan ada usaha rohaniah. Usaha lahir ialah seperti menggunakan tenaga, mencari kekuatan kewangan dan aset. Ini dinamakan "quwwah". Tetapi ini hanyalah sepuluh peratus 10% dari usaha keseluruhan. Usaha rohaniah, iaitu mengusahakan iman dan taqwa adalah 90% dari usaha keseluruhan. Iman dan taqwa inilah faktor utama bagi kemenangan perjuangan kebenaran.

• Mempunyai kekuatan melebihi manusia biasa
Dalam perjuangan kebenaran ada nisbah kelebihan kekuatan 1:10. Di dalam Al-Quran ada disebut nisbah 1:20. Ini melibatkan tenaga manusia, masa, modal dan wang ringgit. Seorang pejuang kebenaran mampu melaksanakan kerja sepuluh kali ganda melebihi seorang pejuang kebatilan. Kalau pejuang kebatilan mengambil masa setahun untuk membuat sesuatu kerja, pejuang kebenaran hanya perlu satu bulan sahaja. Kalau pejuang kebatilan memerlukan modal RM100,000, pejuang kebenaran hanya memerlukan RM10,000 sahaja untuk menegakkan projek yang sama.

• Jalannya tetap dan jelas
Perjuangan kebenaran itu tetap dan jelas. Jalan perjuangannya juga tetap dan jelas. Tidak ada pakatan-pakatan. Tidak ada kompromi-kompromi. Tidak ada terima separuh, tolak separuh. Tidak ada ambil separuh, tinggal separuh. Perjuangan adalah tetap di jalan Allah dan di jalan kebenaran. Justeru itu, sejarah perjuangan kebenaran mesti digunakan sebagai panduan kerana ianya sentiasa berulang. Kalau perjuangan kita tidak mengikut sifat-sifat perjuangan kebenaran seperti yang dipaparkan oleh sejarah dan oleh Al Quran itu sendiri, maka tahulah kita bahawa kita sudah banyak tersasar dari perjuangan yang sebenar sama ada pada niatnya, pada perlaksanaannya, pada natijahnya, ataupun kita telah mengabaikan perkara-perkara yang pokok dan asas di dalam agama.

ISLAM TIDAK MENJAMIN SESEORANG ITU BERTAQWA

29/11/2005

Seorang mukmin sudah tentu dia Islam, tetapi jika dia Islam, belum tentu dia mukmin.
Berbezanya antara orang mukmin dan orang Islam ialah, Allah telah menjanjikan keselamatan dunia dan Akhirat itu kepada orang yang bertaqwa dan bukannya orang Islam. Tidak ada janji dalam Al Quran mahupun Hadis mengenai keselamatan di Akhirat itu bagi orang-orang Islam kecuali yang selamat itu ialah orang-orang bertaqwa.
Dalam khutbah Jumaat, khatib diwajibkan membaca ayat Al Quran yang bermaksud: 'Takutlah kamu kepada Tuhan'. Ayat ini mengajak manusia kepada rasa takut kepada Tuhan atau dengan kata lain bertaqwa kepada Allah SWT.
Jadi, orang yang bertaqwa itu ialah orang yang benar-benar takut dengan Allah SWT. Adakah kita sudah ada rasa takut ini di dalam hati?

Sebenarnya rasa takut dalam hati manusia ini bukan boleh dibuat-buat, ia berlaku secara automatik. Contohnya, jika kita berjumpa dengan orang awam yang tiada pangkat, kita akan rasa biasa sahaja. Tetapi apabila berjumpa dengan orang yang berpengaruh seperti menteri atau sultan, hati kita akan terdorong untuk rasa hormat, takut dan cemas, tanpa perlu sesiapa mengajarnya. Ia terjadi dengan sendirinya. Padahal kita hanya berhadapan dengan sesama manusia.

Bagaimana pula perasaan kita bila berhadapan dengan Tuhan yang Maha Agung, Maha Melihat, Maha Mengetahui dan berbagai-bagai Maha lagi? Mengapa bila berhadapan dengan Tuhan, kita tiada apa-apa perasaan langsung? Tiada langsung rasa kebesaran dan kehebatan Tuhan. Sedangkan dalam sembahyang itulah perasaan-perasaan yang kita hendak serahkan pada Tuhan.
Jadi untuk mendapat taqwa sehingga kita benar-benar rasa takut, rasa cinta, rasa hebat kepada Tuhan dan lain-lain, bukannya sekadar secara fizikal melalui ibadah seperti sembahyang, puasa, haji dan sebagainya. Malah ia lebih kepada mengenali dan mendekati Tuhan secara maknawiah atau rohaniah (perasaan). Untuk dapat menghampiri Tuhan secara rohaniah ini atau untuk memperoleh sifat taqwa, kita mesti menempuh syarat-syaratnya iaitu:
1. Dapat hidayah
Syarat yang pertama, seseorang itu mestilah mendapat hidayah daripada Tuhan. Orang yang mendapat hidayah, hatinya sudah ada rasa hendak berbuat baik. Jika hati tiada rasa hendak berbuat baik, relaks sahaja, sudah tentu tiada dorongan untuk menjadi taqwa.
2. Ada ilmu
Perlu ada ilmu Islam, dengan cara belajar, membaca, bertanya guru dan sebagainya. Ertinya di sini, ilmu yang ada dalam syariat sama ada perintah suruh atau perintah larangan, semuanya wajib dipelajari.
3. Faham
Kita mestilah memahami segala ilmu yang dipelajari itu. Ilmu itu pula mestilah yang dibenarkan oleh syariat, bukan ilmu yang diharamkan seperti ilmu tilik nasib atau ilmu sihir dan sebagainya.
4. Beramal
Setelah mendapat ilmu dan faham, maka hendaklah melaksanakan pula seperti yang diperintahkan oleh syariat.
5. Mujahadah
Hendaklah bermujahadah dalam beramal. Dalam beramal sudah tentu ada halangan-halangannya, ada ujian-ujiannya dan ada pula cabarannya yang banyak. Jika tidak kuat mujahadah atau melawan nafsu, maka kita akan mudah terasa jemu. Bila ada sesuatu yang menghalang dan jika pada masa itu kita tidak kuat mujahadah, langsung kita tinggalkan ibadah itu kerana terasa berat.
Mujahadah memerangi nafsu ini kena buat sungguh-sungguh. Mujahadah pula terbahagi kepada dua iaitu:
Pertama: Mujahadah dalam melakukan suruhan Tuhan.
Bukan mudah hendak berbuat baik dengan hati yang redha dan ikhlas, sebab itulah perlunya mujahadah. Kalau kita hendak bangun malam contohnya, bukan mudah hendak bangun awal pada pukul empat pagi terutama jika terlalu mengantuk. Dalam keadaan ini perlu bermujahadah, kita bangun juga dan terus ke bilik air untuk membasuh muka dan mengambil wuduk untuk melawan rasa mengantuk itu. Jangan pula kita terus tidur sehingga pagi.
Kedua: Mujahadah dalam meninggalkan larangan Tuhan.
Katalah sebelum ini kita ketagih dengan rokok. Bila sudah ada ilmu dan kesedaran, maka perlulah bermujahadah untuk meninggalkannya.

6. Istiqamah
Dalam Islam, satu perkara yang amat dituntut ialah istiqamah iaitu amalan sunat yang dibuat secara berterusan. Jika sesuatu amalan itu kita lakukan hanya sekali sekala, kadang-kadang banyak dan kadangkala sedikit, itu tidak istiqamah namanya. Amalan yang istiqamah, walaupun sedikit ia tetap memberi kesan kepada pengamalnya.
Umpama air yang menitis ke atas batu, lama-kelamaan dapat melekukkan batu yang keras. Jika sekali-sekala beramal, sekalipun banyak, ia tidak akan memberi kesan kepada peribadi seseorang. Contohnya seseorang itu berpuasa sunat, kemudian bersembahyang sunat, ditambah pula dengan zikir dan baca Quran, tetapi hanya bertahan selama 2 minggu, kemudian dia pun berhenti beramal. Selepas 6 bulan baru hendak mula beramal semula. Amalan begini macam air bah, walaupun air melimpah ke suatu kawasan dalam masa yang sekejap, tapi ia tidak boleh memberikan kesan lekuk pada batu. Amalan yang tidak istiqamah seperti itu tidak akan memberi kesan pada hati.

7. Guru mursyid
Untuk beramal, mesti ada guru mursyid yang boleh memandu kita dalam beribadah. Iaitu guru yang dapat memandu kehidupan kita zahir dan batin. Jika kita beramal nanti tentu ada pengalaman-pengalaman hati. Jika kita tidak berguru, di mana kita hendak rujuk? Takut-takut nanti syaitan yang mencelah. Walaupun kita mempunyai ilmu yang banyak, malah tok guru sekalipun, perlu mencari guru yang mursyid. Hanya guru mursyid yang mampu memimpin dan menyuluh lahir dan batin kita.
Cuba kita lihat ibadah orang yang tidak berguru, bagaimana kesannya? Kadangkala sembahyang pun culas, tidak memakai kopiah, kalau perempuan pula tidak menutup aurat dengan sempurna seperti yang dikehendaki oleh syariat, lambat sembahyang, sembahyang hendak cepat sahaja macam ayam patuk padi, itu semua hasil dari tiada pimpinan. Itu belum disuluh di sudut syariat batin yang lebih sulit lagi. Jadi ibadah kita boleh rosak jika tanpa pimpinan guru mursyid.

8. Doa
Sebagai seorang mukmin kita hendaklah selalu berdoa kerana doa itu senjata orang mukmin. Doa ini perlu kerana walaupun kita telah berusaha tetapi yang memberi bekas atau yang menjayakannya adalah Tuhan. Orang yang tidak berdoa itu ialah orang yang sombong terhadap Tuhannya. Seolah-olah dia telah membelakangkan Tuhan dan tidak perlu kepada pertolongan Tuhan. Sedangkan doa itulah tempat orang mukmin merintih kepada Khaliqnya, meminta dikasihani, minta pimpinan supaya segala amalan dapat dihayati untuk menjadi orang bertaqwa. Allah sentiasa mendengar rintihan hamba-hamba-Nya dan memang Allah suka jika hamba-hamba-Nya meminta-minta.
Jadi, itulah syarat-syarat yang perlu ditempuh untuk memperolehi taqwa.

22 November, 2005

Huraian Surah al-Fatihah

STAIL TARBIAH TUHAN DALAM AL FATEHAH

Bila kita bahas lebih jauh 5 ayat pertama Al Fatehah ini maka kita dapat melihat bagaimana didikan dan tarbiah Tuhan.Stail tarbiah Tuhan itu sebenarnya ada dalam surah Fatehah. Kalau para guru, pemimpin dan ibu ayah boleh faham, boleh hayati dan boleh applykan kepada pengikut, anak buah, murd-murid dan anak-anaknya, insyaAllah, berkat dari Tuhan akan sangat memberi kesan. Tetapi mungkin orang tidak perasan.

Mari kita mencungkil dari susunan ayat-ayat Al Fatehah, bagaimana Tuhan mendidik manusia. Kalau ilmu ini dapat kita miliki, dapatlah kita applykan dalam kita mendidik. Sebenarnya didikan dalam Al Fatehah sangat cantik dan sistematik.

Tuhan mendidik manusia tidak secara mengejut tetapi secara tadarruj yakni beransur-ansur. Dari yang ringan-ringan kepada yang agak berat, sehinggalah yang sangat berat, sampailah matlamat yang Tuhan maksudkan. Kalau kita baca dari ayat `Bismillah` hingga "Iyyakana`budu...", banyak ilmu pendidikan yang kita dapat. Tuhan mendidik manusia tidak secara mengejut tetapi secara bertahap agar sesuai dengan akal dan fitrah manusia. Sebab Tuhan jadikan akal dan fitrah manusia tidak boleh diasak sekaligus kerana ia akan rosak. Sama ada dia tidak tahan dan jadi jumud atau dia militan dan agresif. Keduanya Tuhan tidak mahu kerana keduanya bahaya. Sebab itu Tuhan mendidik secara bertahap.

Matlamat terakhir adalah bahawa Allah itu adalah Tuhan yang mesti manusia sembah hendaknya manusia meminta tolong dari-Nya. Itu kemuncak kepada pengenalan dari didikan secara tadarruj tadi atau yang beransur-ansur. Matlamat Tuhan ialah supaya orang akui Dia Tuhan dan mesti sembah Dia. Di awal surah, Dia tidak terus kenalkan diri Nya,"Aku Tuhan." Tetapi Tuhan perkenalkan dirinya secara sedikit demi sedikit, iaitu:

1. Tuhan kenalkan diriNya dengan secara gembira atau tabsyir:
Dalam "Bismillahirrahmanirrahim", dikenalkan Tuhan itu maha Pemurah dan maha Penyayang. Dirasakan nikmat yang terlalu banyak. Ada nikmat rohaniah, maknawiyah dan ada nikmat lahir. Bila disebut begitu, ada 2 yang tersirat yakni :

a) Ada khabar gembira. Nikmat itu adalah khabar gembira.
b) Tidak ada nikmat melainkan yang Tuhan beri. Tidak ada saluran selain dari Tuhan. Sama ada nikmat maknawi atau yang lahir.

Mungkin kita tidak terasa kerana kita sudah lama menjadi orang Islam dan sudah sering mendengar Fatehah sehingga kita sudah lali. Orang Arab, waktu mula-mula datang wahyu itu, 1500 tahun lalu, bila turun `Bismillah...`, mereka terkejut. Sebelum turunnya ayat itu, mereka fikir nikmat-nikmat itu dari jin, malaikat atau bagi hamba sahaya, dia ingat nikmat itu datang dari tuannya. Dengan turunnya ayat `Bismillah...`, mereka terkejut dan tersedar rupa-rupanya nikmat-nikmat itu datangnya dari Tuhan. Jadi dia terasa bahawa rupanya Tuhan itu baik.

2. Bila sudah faham bahawa nikmat ini khabar gembira dari Tuhan maka Tuhan mengajak memuji Dia dengan ayat " Alhamdulillah...." Bagaimana kalau tidak sebut nikmat, tidak sebut khabar gembira tetapi terus disuruh memuji Allah? Tentu orang akan rasa, kenapa hendak puji Tuhan? Begitulah cantiknya cara Tuhan mendidik manusia.

3. Selanjutnya, manusia disedarkan bahawa pujian itu tidak boleh dikongsi. Hanya untuk Allah. raja atau orang besar tidak boleh kongsi pujian itu dengan Tuhan. Kalau kongsi dengan Tuhan, itu dosa yang paling berat. Bila dikatakan nikmat itu dari Tuhan, jadi layaklah Tuhan sahaja yang boleh dipuji. Tuhan kenalkan diri Nya bahawa Dia, "Rabbul `alamin," yang mentadbir seluruh alam, dunia dan Akhirat. Orang yang mula-mula dengar ayat ini, 1500 tahun lalu merasa terkejut. "Hebat Tuhan ya. Bukan sahaja Dia beri nikmat dan Dia yang patutu dipuji, rupanya Dia itu mentadbir." Lagi terasa besarnya Tuhan itu. Bukan sahaja Dia mentadbir dunia, bahkan Akhirat pun Dia tadbir.

4. Kemudian Tuhan perkenalkan diri Nya lagi dalam "Arrahmanir rahim", diulang lagi tentang khabar gembira dan ada tanzir yang menakutkan. Cara Tuhan beri nikmat pada manusia ada 2 cara iaitu: pemurah dan cara kasih sayang. Kadang-kadang atas nama kasih sayang, Dia beri sedikit nikmat sahaja. Atas nama pemurah, Dia beri banyak. Tetapi atas nama pemurah, itu secara istidraj. Tuhan beri banyak itu secara murka. Di sini orang naik takut dan akan berfikir, adakah nikmat dari Tuhan itu dia dapat atas dasar istidraj atau atas dasar rahmat. Di sini ada tanzir, ada didikan untuk menakutkan. Sehingga bila seseorang dapat nikmat Tuhan, dia tak akan lupa diri. Tuhan beri sedikit kepada orang yang Dia sayang, atas dasar rahmat juga. Seolah-olah Tuhan kata," Buat apalah Aku beri banyak di dunia. Beri najis kepada hamba yang Aku sayang. Aku hendak simpan nikmat untuknya di Akhirat." Tetapi manusia tidak faham. Bila dapat sedikit, rasa sedih sangat. Bila Tuhan beri atas dasar pemurah, kadang Tuhan beri banyak. Di situlah murka dan laknat Tuhan. di situlah istidraj.

5. Kemudian Tuhan kenalkan lagi diri-Nya agar cinta dan takutkan Tuhan itu bertambah. "Malikiyau middin". Dia kenalkan diri Nya bahawa Dia miliki Akhirat. Tidak sebut dunia. Di sini juga ada didikan iaitu: Kuasa mutlak itu di tangan Tuhan, tidak dikongsi langsung dengan sesiapa. Tuhan hendak sedarkan manusia bahawa dunia yang kita pandang hebat itu sehingga manusia sampai bergaduh, rupanya tidak ada nilai di sisi Tuhan. Manusia sahaja yang memandang dunia itu besar sedangkan bagi Tuhan, tidak ada nilainya sekalipun bandingan sebelah sayap nyamuk. Maka carilah dunia untuk Akhirat. Jika tidak manusia akan sangat rugi.

6. Terasa lagi kebesaran Tuhan. Setelah Tuhan perkenalkan diri-Nya dari ayat 1 sehingga 4, setelah terasa kebesaran Tuhan, maka barulah Tuhan cakap bahawa hanya Dia yang disembah dan Dia tempat meminta pertolongan. Dalam ayat ke 5 itu, setelah ilmu tentang Tuhan sudah lengkap, barulah Tuhan arahkan agar Dia disembah, "Iyyakana`budu waiyyakanasta`in".

Cara yang Tuhan lakukan itu dalam mendidik manusia, Tuhan minta agar manusia lakukan kepada manusia juga. Cara mendidik, cara mengasuh telah Tuhan tunjukkan dalam Fatehah tadi iaitu secara beransur-ansur. Cara itulah yang Tuhan minta kita buat dalam mendidik manusia sehingga akhirnya manusia menyembah Tuhan. Itulah ilmunya, teorinya.

Luar biasanya Tuhan bila Tuhan pun telah tunjukkan realiti dari teori ini atau bagaimana Tuhan aplikasikan teori ini, iaitu secara realitinya, perintah sembahyang diturunkan setelah 11 tahun kerasulan. Di peringkat awal, selama 11 tahun Tuhan turunkan ayat-ayat untuk mengenalkan Tuhan. Kalau dari awal diperintahkan sembahyang, kita akan ragu dengan teori pendidikan beransur-ansur tadi. Seolah-olah Tuhan cakap lain tetapi buat lain. Tetapi terbukti, realitinya tepat dengan teorinya. Nampak kebesaran Tuhan. Cantik sungguh didikan Tuhan. Tetapi guru-guru tidak hayati ini. Rasulullah SAW mendidik manusia dengan kenalkan Tuhan dahulu. Pada tahun ke 11 kerasulan barulah solat diwajibkan.

Itulah ilmu pendidikan yang kita dapat cungkil dari susunan ayat dalam surah Al Fatehah. Maha Besar Tuhan.

SEKIAN.

TIDAK CUKUP HIDUP SEMATA-MATA DENGAN FITRAH, KITA MESTI HIDUP DENGAN TUHAN.

Hidup BerTuhan
21/11/2005


Fitrah ialah kehendak atau keinginan semulajadi manusia. Kehendak fitrah manusia itu, ada yang utama dan ada yang kurang utama. Yang utamanya hanya satu iaitu kehendak atau keinginan untuk bertuhan. Yang kurang utamanya banyak. Ini termasuklah keinginan untuk berkasih sayang, berkawan, suka kepada kepada kecantikan dan keindahan, keharmonian, kedamaian, ketenangan dan keamanan dan suka kepada sifat-sifat yang baik seperti lemah-lembut, pemurah, rendah diri, pemaaf dan sebagainya.

Sebenarnya kita boleh hidup aman damai hanya dengan mengikut fitrah kita. Terutama kalau fitrah kita itu masih baik dan belum dirosak atau dicemarkan oleh suasana. Dengan mengikut fitrah seperti ini sahaja, masyarakat boleh menjadi tenang, berharmoni dan bertolong-bantu. Memang itulah keinginan fitrah dan manusia akan berbuat mengikut keinginan fitrahnya itu.

Ini dapat kita lihat di dalam masyarakat orang asli yang hidup di hutan. Atas dorongan fitrah, mereka dapat berinteraksi dan berhubung dengan baik di antara satu sama lain. Mereka mampu mewujudkan masyarakat yang mempunyai jalinan yang rapat, bersatu padu dan berharmoni.

Di dunia lain pula terdapat masyarakat yang hidup aman damai. Kalaupun mereka ada undang-undang untuk menghukum penjenayah dan orang-orang yang membuat salah laku, mereka sebenarnya banyak terpandu oleh etika dan kod sosial atau “social code” masyarakat mereka yang telah diterima bersama. Kadang-kadang etika atau kod sosial ini terkandung di dalam budaya atau tradisi hidup mereka. Ianya tidak bertulis tetapi semua ahli masyarakat memahami dan mengamalkannya.

Etika dan kod sosial ini tercetus atas dorongan fitrah bersama yang mahukan ketenangan, keharmonian dan kedamaian dalam masyarakat mereka.

Tetapi ini ialah kedamaian dengan fitrah, bukan kedamaian dengan Tuhan. Tuhan tidak mahu kita damai dan menjadi baik atas dasar fitrah semata-mata. Tuhan mahu kita jadi baik atas dasar Tuhan..

Kedamaian dan kebaikan atas dasar fitrah tidak tahan diuji. Orang yang baik atas dasar fitrah bila berlaku sesuatu ujian, baiknya akan hilang dan jahatnya akan terserlah.. Orang yang pemarah dan panas baran; contohnya, akan tenang sekiranya keadaan tidak menekannya. Tetapi kalau dia ditekan dan disusahkan, dia akan jadi berang dan akan mengamuk. Orang yang tidak sabar dan tidak redha pula akan nampak tenang apabila semua keperluannya cukup. Tetapi kalau keperluannya berkurangan dan dia jatuh miskin, dia akan mula meracau dan mengeluh. Boleh jadi dia akan putus asa. Begitulah seterusnya.

Hidup dengan Tuhan bermaksud Tuhan itu menjadi teras dalam kehidupan. Tuhan itu diimani dan dijadikan pegangan. Segala apa dalam hidup ini dikaitkan dan disandarkan kepada Tuhan. Kita menumpang kekuatan Tuhan. Kedamaian, ketenangan dan keharmonian dalam masyarakat dicapai hasil dari cinta dan takut dengan Tuhan.
Sifat-sifat baik yang tercetus pada diri individu itu adalah hasil dari mujahadah dan memperbaiki diri atas dorongan rasa takut dengan Tuhan.

Bila kita hidup dengan Tuhan, kita mudah tenang dan sabar dengan susah dan ujian kerana kita bersandar dengan Tuhan. Kalau dalam susah dan ujian pun kita boleh tenang, maka lebih-lebih lagilah kita boleh tenang dalam kesenangan dan kemewahan.

Tuhan itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Dia mahu diriNya dilibatkan sama dalam segala urusan dan masalah hamba-hambaNya. Tuhan seolah-olah berkecil hati kalau kita tidak libatkan Dia dalam urusan dan masalah kita. Pada Tuhan, hamba-hambaNya itu adalah kepunyaanNya. Dialah yang paling berhak untuk membantu dan menolong hamba-hambaNya. Janganlah kita kesampingkan Dia. Marilah kita hidup denganNya.

07 November, 2005

Peringkat-Peringkat Manusia Yang Bercakap

Peringkat-Peringkat Manusia Yang Bercakap

Di antara keistimewaan yang Allah Taala anugerahkan kepada manusia ialah manusia itu boleh bercakap. Manusia bercakap melalui perantaraan lidahnya. Melalui lisanlah manusia menterjemah apa yang didapati oleh akalnya, apa yang dirasai oleh hatinya, apa yang dirasa oleh sentuhannya, sama ada daripada sentuhan lidahnya, tangannya, kakinya dan lain-lain lagi, juga apa yang dirangsang oleh nafsunya.
Seterusnya menterjemahkan apa yang dilihat, apa yang ada di atas muka bumi mahupun yang di bawah muka bumi, daripada daratan, lautannya, sungai-sungainya, bukit-bukaunya, gunung-ganangnya, manusia, haiwan, jamadat dan tumbuhan.Begitu juga ia menterjemahkan apa yang menjadikan keyakinan yang bercorak agama yang bersifat maknawi dan rohani daripada segala persoalan alam ghaib dan lain-lain lagi.
Maka daripada apa yang diterjemahkan oleh manusia melalui lidahnya yang keluar berbentuk percakapan, yang bersifat, lafaz, perkataan-perkataan, istilah-istilah, maka tersebarlah berbagai-bagai maklumat-maklumat yang menjadi ilmu dan pengalaman untuk manusia.
Gabungan daripada maklumat yang disampaikan oleh lidah, berbagai-bagai golongan dan peringkat manusia kemudian disambung pula melalui alat-alat, wasilah-wasilah penyebar yang canggih. Maka berkembang dan tersiarlah ilmu pengetahuan di berbagai-bagai bidang dengan merata hingga maklumat yang berisi ilmu pengetahuan itu dapat dimiliki oleh manusia.
Oleh yang demikian, lidah yang boleh bercakap menterjemahkan apa yang dilihat, didengar, disentuh, dirasa, dan boleh menterjemahkan seluruh kehidupan iaitu yang berbagai-bagai bentuk dan sifat itu, ia sangat memberi kesan kepada manusia sama ada positif atau negatif, sama ada memberi faedah atau merosak dan memudaratkan manusia, sama ada menguntungkan atau merugikan, bahkan dari lidah lahir sejuta satu kebaikan atau sejuta satu kejahatan.
Kalau begitu kedudukan lidah, setiap orang kenalah berhati-hati mengguna lidah. Setiap orang tidak boleh menggunakan sesuka-suka hati, dengan kata-kata yang lain orang yang hendak bercakap kenalah berfikir lebih dahulu sebelum bercakap. Jangan sebarang cakap, jangan mudah-mudah hendak bercakap. Jangan main cakap sahaja kerana ia boleh menjadi racun atau menjadi madu kepada masyarakat, boleh menjadi peluru atau boleh menjadi air, boleh benar, boleh palsu, boleh memperpadukan orang atau memecahbelahkan orang, mendamaikan orang atau memporak-perandakan orang, menyejukkan hati, memanaskan hati, menghiburkan hati atau menyakitkan hati, memuliakan orang atau menghinakan orang, memberi iman atau memberi kekufuran, membawa pahala atau dosa, membawa khabar gembira atau khabar dukacita, memberi ilmu atau merapu dan lain-lain lagi.
Justeru itu Islam mengingatkan siapa yang hendak bercakap kenalah berhati-hati. Berkata Hadis:
"Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan Akhirat hendaklah ia bercakap baik atau diam saja."

Orang-orang yang bercakap itu kerana watak, bakat, tabiat, IQ, kemampuan, kebolehan, bidang-bidang ilmu yang dimiliki, pengalaman, merepek, dan tujuan yang tidak sama maka bolehlah kita kategorikan manusia yang bercakap itu seperti berikut:

1. Golongan merapu

Orang yang berjumpa orang, asyik bercakap sahaja tidak berhenti-henti, non-stop, kenakah atau tak kenakah, betul atau tidak, penting atau tidak penting, berfaedah atau tidak, sesuai atau tidak, orang suka atau tidak, mengarut atau tidak mengarut, patut atau tidak, mengandungi ilmu atau tidak dia tidak ambil kira, dia tidak peduli. Berdosakah atau berpahala dia tidak persoalkan, dia memborong cakap itu semua. Inilah golongan yang merapu.

2. Golongan peramah

Orang yang bertemu siapa pun dia mudah bercakap dengan orang, bertegur sapa, bertanya khabar, berkenalan, tanya nama, dari mana dan hendak ke mana, dia suka bercakap dengan orang yang sekira-kira perkara-perkara yang perlu sesuai dengan keadaan dan kedudukan orang itu. Dan dia pun suka mendengar cakap orang itu, boleh berbincang dan berbual boleh berlaku dua hala. Inilah golongan peramah atau pecakap.

3. Golongan kaki cakap

Orang yang apabila jumpa orang, kerjanya bercakap tidak berhenti-henti. Ada sahaja yang dicakapkannya, ada sahaja modal untuk dia bercakap. Boleh bercakap berjam-jam, lepas satu perkara, satu perkara pula, lepas satu topik, satu topik pula tidak jemu-jemu bercakap dan dia tidak fikir orang jemu atau tidak. Cakap tidak bersukat, tapi tidak pula sampai bercakap perkara yang bukan-bukan, tidaklah mengarut. Inilah dia golongan kaki cakap.

4. Golongan yang ada cita-cita perjuangan

Orang yang apabila berjumpa orang, dia akan bercakap yang perlu sahaja. Bercakap yang ada mengandungi ilmu dan didikan. Bercakap yang menyedar dan menginsafkan, bercakap amengandungi cerita-cerita suri tauladan, iman, hukum-hakam, pengajaran, isu-isu semasa yang diulas secara yang mengandungi pelajaran dan hikmah. Bercakap yang mengandungi nasihat yang berguna, cerita-cerita perjuangan. Inilah dia golongan ahli agama yang ada cita-cita.

5. Golongan pendiam

Orang yang apabila bertemu orang dia tidak suka bercakap, dia lebih suka mendengar. Dia bercakap sepatah-sepatah, disukat-sukat, bukan kerana benci, tapi sudah menjadi tabiat dan watak semulajadi, Biasanya orang begini adalah orang yang mempunyai kuat sifat malunya atau orang tidak yakin pada diri, di sini dia banyak diam daripada bercakap. Ini dinamankan golongan pendiam atau penyengap.

6. Golongan sombong

Orang yang berjumpa orang memang tidak suka bercakap kalau bukan kawan, dia tidak suka bercakap kerana benci sahaja dengan orang, biasanya orang begini kerana ada kedudukan, mungkin ada pangkat, ilmu, harta kekayaan, ada nama. Kalau dia bercakap sekali-sekala, kasar sahaja bunyinya, bertanya yang bukan-bukan, menyindir-nyindir, pantang diberikan pandangan dia meninggikan suara, bercakap mengenai kelebihan dirinya. Inilah dia golongan yang bercakap sombong.

7. Golongan biasa

Orang yang berjumpa orang, bercakap yang perlu-perlu, bercakap perkara-perkara biasa, tidak terlalu berlebih-lebihan dan tidak pula terlalu berkurangan, bercakap yang mudah, hal-hal kehidupan biasa, secara natural. Inilah golongan percakapan orang biasa.

8. Golongan yang suka memperdaya

Orang yang bercakap dengan orang di mana-mana pun lebih-lebih lagi kalau orang tidak kenal dia, maka dia akan bercakap. Membawa perkataan-perkataan yang lemak manis, bercakap tentang dirinya, usaha-usahanya, kelebihannya dan kemampuannya, kemajuan-kemajuan yang dibuat, mungkin mengajak sama di dalam usaha-usahanya. Membawa cakap-cakap yang meyakinkan orang kepadanya dengan tujuan untuk kepentingan dirinya mungkin hendakkan pengaruh, sokongan, duit dan hartanya. Cakap-cakapnya terpesona orang dibuatnya. Inilah golongan yang bercakap memperdaya.

9. Golongan petah bercakap

Orang yang bercakap fasih, bahasa tersusun dan begitu jelas, perkataan yang diucapkan begitu menarik, bahasa menggunakan perkataan yang standard, dengan jalan bahasa yang tepat dan betul, dengan istilah-istilah yang diguna begitu menarik, di samping isinya padat dan bernas. Terpesona orang yang mendengarnya. Inilah golongan orang yang petah bercakap.

10. Golongan tunjuk pandai

Orang yang bercakap dengan orang, apa sahaja orang hendak perkatakan dia mesti ikut campur memperkatakannya. Apa sahaja isu yang dibualkan dia mesti menyampuk sama walaupun adakalanya dia tidak faham kedudukannya, dia cuba bercakap juga seolah-olah dia faham dari orang lain atau paling tidak supaya orang anggap dia juga faham macam orang lain faham. Apa sahaja yang orang tanya, dia mesti menjawabnya walaupun tidak kena. Namun hendak mengaku tidak tahu, tidak. Dia akan bercakap apa sahaja agar orang menganggap dia tahu semua hal. Inilah golongan orang yang bercakap menunjuk-nunjuk pandai.

11. Golongan bercakap lucah

Ada orang apabila dia bercakap, walau apa pun topik atau apa sahaja isu yang diperkatakan atau dibualkan, dia mesti selit-selitkan perkataan-perkataan lucah, atau kata-kata dan ibarat-ibarat yang dibawa atau dijadikan penyedap dan pemangkin cakap ialah perkataan-perkataan yang boleh menaikkan nafsu, atau perkataan-perkataan itu menjadikan para pendengarnya teringatkan perempuan, terbayang perhubungan cinta bahkan setengah orang hingga di dalam
ceramah-ceramah agama atau majlis dakwah pun sengaja mencari-cari peluang untuk memasukkan dan menyelit-nyelitkan perkataan-perkataan di dalam pendekatan dakwahnya atau ceramahnya yang ada unsur-unsur nafsu atau seks. Orang ramai turut seronok mendengarnya lebih-lebih lagi di dalam majlis itu ramai di kalangannya kaum ibu, lebih lumrah lagi perkataan itu diselit-selitkan. Inilah dia golongan bercakap lucah.

Peringkat-peringkat manusia yang bercakap
1. Yang suka sangat hendak bercakap (kaki cakap).
2. Yang bercakap yang perlu-perlu sahaja.
3. Bercakap yang terpaksa.
4. Bercakap yang menjadi kewajipan.
5. Tidak suka bercakap.
6. Bercakap merapu.
7. Bercakap yang sengaja disukat kerana menjaga status.
8. Bercakap yang menggoda.
9. Bercakap yang memperdaya.
10. Bercakap kerana hendak menunjuk-nunjuk pandai.

SEKIAN