Minda Mujaddid

31 May, 2006

SIFAT-SIFAT PERJUANGAN KEBENARAN

15/11/2005

Perjuangan Islam atau perjuangan kebenaran itu sifatnya sama, dari dahulu hingga sekarang. Tempatnya berubah, orang atau bangsanya berubah, masa dan eranya juga berubah tetapi sifatnya tetap sama. Apa yang berlaku kepada pejuang-pejuang Islam atau pejuang-pejuang kebenaran pada setiap zaman juga sama. Ini kerana apa yang diperjuangkan ialah Tuhan yang sama, prinsip yang sama dan syariat yang sama.

Oleh yang demikian perjuangan Islam atau perjuangan kebenaran itu, kalau ianya benar-benar mengikut lunas-lunas dan landasan Islam yang sebenar dan dilaksanakan tepat mengikut cara yang Allah mahu, maka sifatnya pasti sama dengan perjuangan Islam di sepanjang zaman. Kalau ini tidak berlaku, maka sudah tentu ada yang tidak kena dengan perjuangan tersebut ataupun perjuangan tersebut tidak tepat dengan apa yang dikehendaki oleh Allah Taala.

Di antara sifat-sifat perjuangan itu ialah:

• Sentiasa diuji
Ujiannya berat. Namun demikian, ia tidak menjejaskan perjuangan. Ia setakat menapis dan menyaring pejuang-pejuangnya untuk menambah kekuatan.

• Mendapat bantuan ghaib
Berlaku berbagai-bagai bantuan bagi mengatasi ujian-ujian tersebut seperti Firasat, Yakazah, Hatif dan sebagainya yang berbentuk Khawariqul `adah (perkara yang mencarik adat atau di luar logik). Bagi para rasul dinamakan mukijzat, bagi para wali dinamakan karamah dan bagi orang-orang soleh dinamakan maunah. Maunah selalunya disandarkan kepada karamah. Bantuan-bantuan inilah merupakan hiburan di dalam menempuh ujian yang menimpa.

• Berlaku tapisan dan saringan
Pada pertengahan jalan dalam perjuangan, akan terdapat ramai pengikut. Pengikut yang ramai ini akan tertapis dan tersaring hingga tinggal sedikit. Kemenangan akan berlaku selepas saringan ini. Perjuangan kebenaran tidak pernah menang ketika mereka ramai.

• Tuhanlah yang mengalahkan musuh
Yang mengalahkan musuh bukan para pejuang tetapi Tuhan sendiri. Tuhanlah yang mengalahkan musuh supaya rasa kehambaan tetap kekal di hati para pejuang, dan Allah itu nampak Hebat dan Penuh Berkuasa.

• Faktor kemenangan adalah iman dan taqwa
Dalam perjuangan Islam atau kebenaran ada usaha lahir dan ada usaha rohaniah. Usaha lahir ialah seperti menggunakan tenaga, mencari kekuatan kewangan dan aset. Ini dinamakan "quwwah". Tetapi ini hanyalah sepuluh peratus 10% dari usaha keseluruhan. Usaha rohaniah, iaitu mengusahakan iman dan taqwa adalah 90% dari usaha keseluruhan. Iman dan taqwa inilah faktor utama bagi kemenangan perjuangan kebenaran.

• Mempunyai kekuatan melebihi manusia biasa
Dalam perjuangan kebenaran ada nisbah kelebihan kekuatan 1:10. Di dalam Al-Quran ada disebut nisbah 1:20. Ini melibatkan tenaga manusia, masa, modal dan wang ringgit. Seorang pejuang kebenaran mampu melaksanakan kerja sepuluh kali ganda melebihi seorang pejuang kebatilan. Kalau pejuang kebatilan mengambil masa setahun untuk membuat sesuatu kerja, pejuang kebenaran hanya perlu satu bulan sahaja. Kalau pejuang kebatilan memerlukan modal RM100,000, pejuang kebenaran hanya memerlukan RM10,000 sahaja untuk menegakkan projek yang sama.

• Jalannya tetap dan jelas
Perjuangan kebenaran itu tetap dan jelas. Jalan perjuangannya juga tetap dan jelas. Tidak ada pakatan-pakatan. Tidak ada kompromi-kompromi. Tidak ada terima separuh, tolak separuh. Tidak ada ambil separuh, tinggal separuh. Perjuangan adalah tetap di jalan Allah dan di jalan kebenaran. Justeru itu, sejarah perjuangan kebenaran mesti digunakan sebagai panduan kerana ianya sentiasa berulang. Kalau perjuangan kita tidak mengikut sifat-sifat perjuangan kebenaran seperti yang dipaparkan oleh sejarah dan oleh Al Quran itu sendiri, maka tahulah kita bahawa kita sudah banyak tersasar dari perjuangan yang sebenar sama ada pada niatnya, pada perlaksanaannya, pada natijahnya, ataupun kita telah mengabaikan perkara-perkara yang pokok dan asas di dalam agama.