Minda Mujaddid

17 March, 2005

Islam Hadhari atau Hadharah Islamiyyah

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan satu istilah yang agak asing kepada ramai di antara kita iaitu Hadharah Islamiyyah. Sebelum ini kita telah diberi faham tentang Islam Hadhari. Itupun ramai yang belum berapa faham tentang istilah Islam Hadhari. Kali ini Hadharah Islamiyyah pula. Apa beza antara duanya?

Islam Hadhari maksudnya Islam yang sebenar. Islam ini, sifat atau tabiatnya ialah berkemajuan. Dalam ertikata lain, kemajuan itu mengikut. Ia datang sekali seperti satu pakej dalam Islam. Bila Islam itu diamalkan mengikut kaedah yang sebenar yakni secara Islam Hadhari, maka dari pengamalan tersebut, akan lahirlah kemajuan kepada Islam dalam berbagai bidang seperti ekonomi, kebudayaan, pendidikan dan pentadbiran. Kemajuan-kemajuan yang terhasil dari pengamalan inilah yang dikatakan Hadharah Islamiyyah. Kemajuan itu berlaku, hasil daripada pengamalan Islam. Jadi jelaslah yang satu ini tabiat, yang satu lagi hasil. Sebelum dapat hasil, kena ambil tabiat atau wataknya dahulu. Islam hadhari itu tabiatnya berkemajuan, setelah diamalkan dapatlah hasil. Hasil itulah yang disebut hadharah Islamiyyah atau kemajuan Islam.

Untuk lebih memahami, ambil contoh garam. Garam itu tabiatnya masin. Sifat semulajadinya adalah masin. Kalaulah garam itu dimasukkan ke dalam gulai, ia akan memasinkan gulai. Jadilah gulai itu gulai yang ada rasa masin. Samalah Islam Hadhari tadi, seperti garam yang bersifat masin dan memasinkan. Manakala, Hadharah Islamiyyah ialah rasa masin yang ada pada gulai sesudah dimasukkan garam.

Cukup dengan “Islam hadhari”, ia sudah memberi faham kepada kita bahawa Islam itu membawa kemajuan. Memang dengan mengamalkan Islam itu, kemajuan akan berlaku dengan sendirinya. Yang penting, amalkanlah Islam itu. Sebaiknyalah kita mendokong Islam Hadhari. Tetapi kalau kita bawa Hadharah Islamiyyah, ia hanya memperkatakan tentang kemajuan Islam. Ia memperkatakan tentang hasil yang tercapai. Benda yang sepatutnya berlaku. Namun, bila memperkatakan tentang soal kaedah dan bagaimana cara penghasilannya, lebih mudah dan lebih sesuai jika Islam Hadhari itu ditonjolkan. Sebab pakej kemajuan itu datang sekali bilamana kita membawa konsep Islam Hadhari.

Begitulah secara ringkas untuk kita faham beza Islam Hadhari dan Hadharah Islamiyyah. Bagi kita, janganlah persoalan istilah Islam Hadhari ataupun Hadharah Islamiyyah ini sekadar menjadi perbualan lisan. Tetapi kenalah Islam itu dijadikan pengamalan. Kita sudah banyak berbahas, tetapi hasilnya tiada. Kita sudah banyak berbahas tentang Islam hadhari, namun hasil hadharah islamiyyah belum betul-betul menjadi realiti. Oleh itu, marilah sama-sama kita berbuat sesuatu demi untuk membangunkan Islam secara realiti.

Islam Hadhari & Peranan Wanita

Peranan Wanita Dalam Islam Hadhari
Menurut Pandangan Us. Ashaari Muhammad


Memperkatakan ‘Peranan wanita dalam Islam Hadhari’ ertinya memperkatakan peranan wanita kepada satu agama yang selamat dan menyelamatkan. Peranan wanita dalam satu agama yang namanya Islam, iaitu selamat dan meyelamatkan. Ini perbahasan kita.

Islam itu juga dikatakan agama fitrah. Sesuai dengan instinct atau naluri manusia. Bila dikatakan instinct, atau naluri, atau fitrah, ia adalah satu pakej yang ada dalam diri manusia iaitu 1) akalnya, 2) nafsunya, 3) rohnya dan 4) jasadnya. Ini satu pakej yang sandar menyandar, kuat menguatkan, perlu memerlukan. Ia tidak boleh bertindak sendiri.

Daripada 4 perkara yang ada dalam pakej ini, yang kita boleh nampak hanya jasad lahir. Akal, roh dan nafsu, kita tidak nampak. Sedangkan yang 3 ini lah yang paling penting dan besar peranannya. Fizikal atau jasad lahir hanya ikut sahaja. Suruh buat, ia buat. Suruh pergi, ia pergi. Tidak ada pilihan. Kecuali kalau dia lumpuh atau patah kaki. Jika tidak, ia akan bertindak atas arahan 3 perkara tadi. Roh berperasaan seperti suka, benci, senang dan lain-lain. Nafsu merangsang atau mendorong. Akal memikirkan perasaan tadi, bila didorong oleh nafsu, bagaimana untuk berbuat. Setelah berfikir, ia dapat satu kaedah lalu arahkan fizikal untuk berbuat.

Berdasarkan ini, rupanya tabiat semulajadi manusia, ia berkemajuan. Dengan adanya pakej tadi, manusia berkemajuan. Tidak seperti haiwan. Haiwan, dari dahulu telanjang, sampai sekarang pun telanjang. Ia tidak berubah sebab tidak ada pakej kemajuan dalam dirinya. Kalau pokok kayu lagilah. Langsung tidak ada perasaan, akal atau nafsu. Kalau ia maju pun kerana orang majukan. Dari hutan, sampai ke rumah, sudah jadi cantik. Kayu sudah jadi rumah. Bukan ia majukan diri tetapi orang majukan. Manusia tidak begitu. Dia berubah-ubah. Dari maju ke maju, sampai jadi canggih. Kalau manusia boleh hidup 1000 tahun lagi, apa lagilah agaknya kemajuan yang manusia buat. Kereta mungkin bukan macam yang ada hari ini lagi. Kapalterbang mungkin bukan macam yang ada. Jangan-jangan dalam 1 minit sahaja boleh sampai Kuala Lumpur.

Jadi, tahulah kita bahawa watak manusia itu ialah berkemajuan atau bertamadun. Tabiat bertamadun itu, bukan pada orang lelaki sahaja. Di sinilah perbahasan kita. Kejadian lelaki dan wanita itu sama. Kejadian asal, dari tanah. Kejadian yang kedua dari air mani. Sebab itu tabiatnya sama. Tidak ada perbezaan. Kalau lelaki ada persiapannya untuk maju, wanita juga begitu. Kalau begitulah Tuhan jadikan, watak perempuan sama dengan lelaki, maka adalah salah kalau watak itu dikorbankan. Adalah salah jika sifat berkemajuan atau sifat hadharinya itu dihalang. Sifatnya sama dan tidak boleh berubah. Hadhari ke, madani ke, Islami ke, semuanya sama. Maknanya mempunyai unsur-unsur untuk maju.

Jadi kalau Tuhan jadikan dalam diri perempuan, sama dengan lelaki, yakni ada watak hendak maju, jika disekat adalah satu kesalahan. Boleh juga dikatakan satu penzaliman. Kalau tidak, untuk apa Tuhan jadikan? Bila Tuhan jadikan berwatak madani atau berkemajuan, ertinya Tuhan benarkan bertindak untuk maju. Tidak kiralah makan minumnya, rumah, kenderaan dan lain-lainnya. Tidak boleh dihalang atau disekat. Sebab unsur-unsur itu ada dalam dirinya macam lelaki juga. Cuma Tuhan mahu, bila 4 unsur yang ada dalam diri itu digunakan, diaktifkan untuk maju, kerana kasih sayang Tuhan, Tuhan tidak mahu maju sahaja kerana dalam kemajuan itu ada bahaya. Sebab itu Tuhan buat peraturan. Dorongan rasa hendak maju itu sudah ada, sudah cantik, sudah baik. Tetapi Tuhan itu penyelamat. Dia kasihan pada hamba-hamba Nya, supaya maju tetapi jangan ada huru-hara. Maju tetapi jangan ada negatifnya. Jangan ada jenayah dan penzaliman. Sebab itu Tuhan buat peraturan. Hendak maju boleh tetapi ada syaratnya.

Contohnya, hendak maju boleh tetapi jangan ada rasuah. Orang benci rasuah. Jangan bergaduh dan jatuh menjatuhkan. Apa ertinya maju kalau bergaduh. Boleh maju tetapi jangan bergaul bebas lelaki perempuan. Sebab, kalau sudah bebas, tiada ertinya maju. Nanti dalam maju ada penzinaan, ada pelacuran, ada perogolan dan ada kidnap. Tidak ada erti apa-apa kemajuan itu.

Sebab itu Tuhan buat peraturan itu supaya selamat. Kaum ibu hendak maju, boleh. Boleh jadi doktor, engineer dan lain-lainnya. Maju itu faedahnya untuk kepentingan umum, bukan untuk dirinya sahaja. Faedahnya merata tetapi disiplin kena jaga. Peraturan itu penting supaya bila maju jangan ada yang negatif. Wanita juga macam lelaki, ada kecenderungan untuk berkemajuan. Dia boleh dimanfaatkan untuk agama, bangsa dan negara. Yang salahnya pemimpin tidak programkan. Akhirnya sama-sama naik. Maju pun naik, jenayah pun naik. Maju pun naik, krisis pun naik. Apa ertinya? Masalahnya bukan tidak boleh maju tetapi pemimpin tidak disiplinkan. Biarlah maju dalam displin, barulah selamat dan menyelamatkan. Sekian.

Umur Kita

Setiap detik umur kita pergi
Pergi tidak akan kembali lagi
Setiap nafas turun naik mengurangkan lagi
Dari detik ke minit, dari minit ke saat

Dia bertambah laju pergi
Dihakis lagi umur kita, tanpa kita sedari
Dari saat ke hari, speed kelajuannya bertambah lagi
Lagi cepat umur kita yang pergi

Dari hari ke minggu, makin jauh umur kita pergi
Yang pergi itu tidak berganti
Yang pergi tetap pergi, yang datang mengurangkan lagi
Dari minggu ke bulan, bertambah laju umur kita lari

Lari tidak akan bertemu lagi
Yang lari tetap lari, tidak kembali
Dari bulan ke tahun,
Oh makin jauh dia pergi

Dari tahun ke tahun pacuannya terlalu laju
Begitulah umur kita pergi, setiap detik dia luak
Kita merasa umur kita bertambah lagi
Luak, terus luak, kurang terus kurang
Kita merasa umur kita bertambah panjang

Kita pun berangan-angan panjang
Kerana merasakan hidup panjang lagi

Tiba-tiba MATI...

Di waktu itu terbeliak biji mata
Bekalan yang dibawa tiada
Menyesal sepanjang masa, tidak berkesudahannya.

--------------------------------------------------
Nukilan : Ustaz Haji Ashaari Muhammad