Minda Mujaddid

10 November, 2004

Tuhan adalah segala-galanya

24.10.2004 – 1
Menjelang Zuhur

Bagiku Tuhan adalah segala-galanya
Orang yang tidak faham memang hati telah buta, matanya buta,
otaknya buta, perasaannya buta
Betapa tidak mari kita bercerita
Betulkah mari kita menghujahkannya, agar hati dan mata yang buta terbeliak semula
Aku hendak cerita tentang diriku, diri orang lain serupa sahaja
Aku dahulu tidak ada di dunia, tiba-tiba ada, Tuhan yang mengadakan,
takkan tidak percaya
Mula-mula aku kecil kemudian membesar, jadi budak, kemudian pemuda,
setelah itu dewasa, sekarang tua
Proses perubahan itu siapa yang membuatnya?
Tentulah Tuhan juga
Aku hidup dengan udara Tuhan yang punya
Di waktu aku lapar aku makan daripada bahan-bahan makanan yang Tuhan jadikan
Cuma bahan-bahan itu manusia proses jadi makanan
Tenaga yang memproses tenaga yang diberi Tuhan
Faham memproses Tuhanlah yang memberi faham bukan?
Adakalanya aku sakit, Tuhan yang sakitkan
Apabila sembuh Tuhan yang sembuhkan
Kalaupun makan ubat bahan daripada Tuhan,
bahan-bahan ubat bukan ciptaan insan bukan?
Di waktu mengantuk Tuhan menidurkan, di waktu sedar Tuhan sedarkan,
itu adalah nikmat Tuhan
Ketika aku hendak berjalan pijak bumi Tuhan
Di waktu naik kenderaan, kenderaan yang dibuat daripada bahan-bahan ciptaan Tuhan takkan tidak faham?
Cuma manusia proses bahan-bahan Tuhan
Faham proses siapa memberi ilmu?
Tentulah Tuhan bukan?
Perlu tempat tinggal, aku tinggal di dalam rumah
Rumah yang dibuat daripada bahan-bahan ciptaan Tuhan bukan ahli sains yang buatkan
Jurubina hanya memproses dan menyusun-nyusun jadilah binaan
Faham memproses dan tahu menyusun, pengetahuan dari Tuhan bukan?
Apabila hendak berhibur aku perlu isteri
Isteri pun macam akulah, jenis aku dan ciptaan Tuhan
Kewujudannya macam aku, dia diwujudkan oleh Tuhan
Ketika aku ingin makan angin, berjalan-jalan untuk meluaskan pandangan
Setiap yang aku lihat, seperti gunung, daratan, lautan semuanya ciptaan Tuhan
Itu baru bersifat dunia
Apabila aku dan kita semuanya hidup segala-galanya sudah sedia ada
Tinggal lagi yang bersifat Akhirat untuk negara yang kekal abadi
Aku minta kepada Tuhan, aku minta pimpinan-Nya, aku minta rahmat-Nya
Aku minta iman, aku minta keampunan-Nya, aku minta redha-Nya
Segala-galanya itu aku minta kepada Tuhan
Setelah dicerita jelaslah bagiku Tuhan adalah segala-galanya
Oleh itu bagamanalah aku tidak takut dengan-Nya
Bagaimanalah aku tidak jatuh hati dengan-Nya, aku sembah-Nya, membesarkan-Nya
Bagaimanalah aku tidak cinta terhadap-Nya, segala-galanya itu adalah dari-Nya
Aku perlu mengingati-Nya, menyebut nama-Nya, mengharap kepada-Nya
Aku mesti meminta ampun kepada-Nya, minta redha-Nya
Aku mesti mengharapkan cinta-Nya, minta keselamatan dari-Nya
Kalau begitu aku tidak akan memberi cinta selain-Nya
Aku tidak akan dapat digoda oleh dunia, yang sudah lama menipu aku dan manusia
Aku mengharap kepada Tuhan janganlah lagi aku diserahkan kepada dunia
buat selama-lamanya
Tuhan adalah segala-galanya buatku, selamatkan aku Tuhan
Jangan tinggalkan aku

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]



<< Home