Minda Mujaddid

10 November, 2004

Pengisian Aidil Fitri

PENGISIAN AIDILFITRI

Aidil Fitri datang lagi. Ia datang sebagai penutup puasa. Ia datang di hujung Ramadhan, menandakan masuk 1 Syawal. Aidil Fitri bukan hari bersuka ria. Atau hari berpesta makan minum. Ia juga bukan hari untuk bermegah-megah dengan hiasan dan pakaian. Aidil Fitri adalah hari untuk pengisian rohani pada orang yang mengetahuinya. Mari kita lihat apa pengisian yang sepatutnya kita lakukan untuk Aidil Fitri.

1. Aidil Fitri adalah Hari Bertafakur. Ia adalah hari untuk kita merenungi dan menginsafi perlakuan kita sepanjang Ramadhan. Apakah Ramadhan yang berlalu telah mendidik kita? Sudahkan Ramadhan meningkatkan mahmudah kita, menjadikan kita orang yang taat, pemurah, pemaaf, bertimbang rasa, bersyukur, merendah diri dan berkasih sayang? Sudahkah Ramadhan menghilangkan mazmumah dalam diri seperti sombong, tamak haloba, cinta dunia, hasad dengki dan pemarah. Jika ini tidak berlaku, maka kita telah gagal pada Ramadhan kali ini. Puasa kita menjadi sia-sia dan sekadar lapar dan dahaga. Puasa tidak membawa erti apa-apa kerana ia tidak mengembalikan kita kepada fitrah semulajadi. Sedangkan natijah daripada puasa, sepatutnya, ia menyucikan fitrah dan menundukkan nafsu, seterusnya menjadikan kita orang yang bertaqwa. Renung-renungkanlah.

2. Aidil Fitri adalah Hari Bersedih. Sudah kita tahu betapa banyak dosa-dosa yang kita lakukan di bulan Ramadhan maka layaklah kita bersedih di Aidil Fitri. Di samping itu kita juga bersedih dengan ibadah yang hendak dipersembahkan kepada Tuhan kerana terlalu banyak kekurangan dan cacat-celanya. Apakah ibadah kita Allah terima atau sebaliknya? Apakah ibadah puasa kita itu ada nilai di sisi Tuhan? Takut-takut ibadah tersebut bukan mendekatkan kita kepada Tuhan tetapi semakin jauh dengan Tuhan. Mohon dilindungi Tuhan.

3. Aidil Fitri adalah Hari Melahirkan Kegembiraan. Ia adalah hari di mana di mana kita menghiburkan hati insan-insan istimewa seperti anak-anak yatim, orang miskin, kanak-kanak, ibu tunggal, orang-orang tua termasuk ibu bapa kita. Tak terkecuali juga kepada orang yang bermusafir. Gembirakanlah mereka dengan kemesraan kita. Juga, jika tidak memberatkan, jamulah mereka dengan kuih-muih serta memberi hadiah.

4. Aidil Fitri adalah Hari Kesyukuran. Ia adalah hari kita untuk bersyukur kerana Tuhan beri kesempatan kepada kita untuk menjalani berbagai ibadah di bulan Ramadhan terutamanya ibadah puasa. Buktikanlah kesyukuran kita itu dengan bertakbir, bertahlil dan bertahmid. Buktikan ia juga dengan memperbanyakkan sedekah. Berharaplah dengan Tuhan agar Tuhan panjangkan umur untuk kita dapat bersama di Ramadhan yang akan datang.

5. Aidil Fitri adalah Hari Bersilaturahim. Ia adalah hari kita berlapang dada, bermaaf-maafan dan melupakan segala persengketaan. Hari kita memohon maaf dan memberi maaf, buang yang keruh dan ambil yang jernih. Juga, gunakanlah peluang ini untuk kita ziarah-menziarahi keluarga, sanak-saudara dan sahabat handai. Moga-moga dengan itu nanti, timbul kasih sayang sesama kita, insyaAllah.

Demikianlah pengisian Aidilfitri yang sepatutnya bagi kita, sebagai panduan, agar Aidil Fitri kita mendapat berkat dan rahmat dari Tuhan. Sekian.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]



<< Home