Minda Mujaddid

20 October, 2004

Akibat Penyakit Sombong

Akibat Penyakit Sombong,Lupa Tuhan dan Menurut Hawa Nafsu

Basmalah. Terimakasih Tuhan. Dengan rahmat dan nikmat Mu Ya Allah, kita telah dihimpunkan pada pagi ini, dari kalangan isteri-isteri yang bermadu. Dengan pertemuan ini kami dapatlah berkenalan satu sama lain, samada yang datang dari dekat dan jauh. Dan kami dapatlah berbincang tentang masalah kami. Moga-moga kami dapat ilmu dalam kursus ini. Dengan dapat ilmu itu, moga-moga bertambah iman dan taqwa. Selawat dan salam kepada Rasulullah SAW. Kerananyalah kita Islam, kita beriman dan dapat berhimpun pada pagi ini. Mudah-mudahan kita selamat sampai ke hujung. Maka dengan rahmat dan nikmat ini, moga-moga kami boleh banyak bersyukur pada Mu ya Allah dan banyakkan selawat pada Nabi mu SAW. Moga-moga kami jadi orang yang bersyukur dan moga-moga kami jadi orang yang banyak berselawat sehingga dapat syafaat darinya. Moga-moga Tuhan selamatkan kita semua.

Saya hendak baca 2 hadis dan dari hadis inilah saya akan huraikan untuk kuliah. Hadis yang pertama:

1) Rasulullah SAW bersabda yang terjemahannya:

“Sejahat-jahat hamba adalah seorang hamba yang sombong dan melupai Tuhan yang Maha Tinggi.”

2) Yang kedua, Rasulullah bersabda yang bermaksud:

“Sejahat-jahat hamba ialah hamba yang mengikut hawa nafsunya.”

Dari 2 hadis ini, dapat kita lihat ada 3 perkara penting iaitu:

Sombong
Lupa dengan Tuhan yang Maha Tinggi
Ikut hawa nafsunya

Inilah penyakit-penyakit masyarakat, penyakit dunia, penyakit individu, penyakit rumahtangga, penyakit keluarga, penyakit bangsa, penyakit etnik dan penyakit semua manusia. Yang menjadikan dunia huru hara, menjadikan manusia pecah belah, hilang kasih sayang, jatuh menjatuhkan, menjadikan manusia selalu bergaduh berkelahi, fitnah menfitnah dan kemuncaknya berlaku peperangan demi peperangan. Maka jadilah dunia ini neraka sebelum neraka di akhirat. Manusia tidak mahu ini semua sebab ia menyusahkan, mengharu birukan, menghilangkan bahagia dan ketenangan, menjadikan manusia takut dan bimbang tetapi manusia yang cetuskan peperangan itu. Rupanya apa yang manusia tidak mahu, manusia juga yang melakukannya. Apa yang manusia takut, itulah yang dibuat oleh manusia. Apa yang manusia tidak hendak, itulah yang dilakukan mereka setiap hari. Manusia tidak tahu macamana hendak sekat keadaan ini. Benda yang terjadi pada kita, kita tidak tahu bagaimana hendak hentikannya. Perbuatan manusia telah menjerat manusia sendiri.

Rupanya semua itu berlaku kerana 3 penyakit tadi iaitu ego, lupakan Tuhan dan ikutkan nafsu. Bila ada ego dan lupakan Tuhan maka nafsulah jadi Tuhan. Penyakit ego ini adalah pokok bukan buah. Sebab itu Rasulullah kata sejahat-jahat hamba adalah yang sombong. Dari pokok sombong ini, lahirlah buah pemarah, hasad, lahir fitnah menfitnah dan sifat payah hendak terima kebenaran. Lahirlah sifat tidak mampu memberi maaf, tidak suka minta maaf dan prejudis dengan orang. Ini adalah buah-buahnya.

Apabila seseorang itu pada dirinya ada ego yakni pokok mazmumah, maka bila ada pokok, ia akan membuahkan berbagai jenis buah mazmumah. Samada besar atau kecil. Samada dia sedar atau tidak. Ego ini adalah penyakit pertama lahir di dunia. Ia dari iblis. Siapa yang ada pokok sombong, ertinya dia bukan ikut Tuhan tetapi ikut iblis. Dasyatnya pokok sombong yang boleh lahirkan bermacam-macam mazmumah, yang sangat menysusahkan hidup manusia. Bila sudah ikut iblis kerana ada sifat sombong maka iblislah Tuhannya. Maka hadis sebut, yang lupa Tuhan yang Maha Tinggi, itu sifat iblis. Bila iblis jadi Tuhan, walaupun hatinya tidak katakan iblis itu Tuhannya, hakikatnya dia sudah bertuhankan iblis maka dengan sendiri dia lupakan Tuhan yang sebenar. Dia besarkan iblis, dia agungkan iblis dan lupa agungkan Allah. Bila pokoknya sudah wujud, lahirlah macam-macam buah mazmumah.

Kalau tidak ada pokok, mungkin ada satu-satu bentuk mazmumah sahaja tetapi kalau pokok yang tumbuh, ia lahirkan buah yang banyak yakni buah yang merosakkan hidup manusia, merosakkan sesama kawan dan merosakkan negara. Bila ada pokok ini maka sempurnalah mazmumahnya. Maka iblis jadi Tuhannya. Kalau iblis yang dia ingat, tentulah dia lupakan Tuhan. Jadi bila iblis sudah ada, dia lupakan Tuhan maka nafsu pulalah menjadi Tuhannya.

Apa kata Allah tentang nafsu di dalam Al Quran. Terjemahannya:

“Sesungguhnya nafsu itu sangat mengajak orang berbuat jahat.”

Nafsu itu bukan sahaja ia jahat bahkan ia sangat mengajak orang buat jahat. Sudahlah nafsu itu sendiri jahat, ia juga sangat mengajak orang buat jahat. Jadi bila orang sudah bertuhankan nafsu, disamping pertuhankan iblis tadi maka lahirlah faham individualisma. Orang yang faham individu ini, dia fikir, “Aku nak senang, orang tidak senang dia punya pasal. Aku fikir aku, jiran mati, itu dia punya pasal.” Dasyat. Bila ada ego, lupa Tuhan maka nafsu main peranan. Nafsu bukan sahaja jahat bahkan sangat mengajak orang buat jahat. Nafsu itu sifatnya berkehendak dan merangsang samada yang halal atau haram. Apa yang dia hendak itu dibawa pada diri, hanya untuk dirinya, tidak dibawa pada keluarga, apatah lagi jiran dan masyarakat. Padahal kalau dia berfikir, bila bangsa rosak, dia salah seorang yang akan rosak. Tetapi kerana penyakit individualisma, dia tidak fikirkan itu semua. Sebab itu Tuhan berkata yang bermaksud:

“Tidakkah engkau lihat orang yang menjadikan nafsu itu Tuhannya.”
Tapi kalau kita cakap “awak ni bertuhankan nafsu,: dia marah.

Bala bencana yang berlaku dalam diri hingga orang marah dan benci adalah kerana nafsu sudah kita jadikan Tuhan. Begitulah bala yang berlaku antara suami isteri kerana sifat individualisma itu. Isteri fikir isteri dan suami fikir suami. Sifat individu ini menyebabkan dia tidak fikir keluarga sekalipun anaknya. Kadang-kadang anak-anak dialatkan untuk kepentingan diri. Mak ayah dialatkan, suami atau isteri dialatkan untuk kepentingan diri. Jemaah dialatkan untuk kepentingan diri. Begitu juga gurunya, etniknya dan bangsanya dialatkan untuk kepentingan dirinya. Kemudian bila dapat susah, dia kata, “Macamana ni?”

Kalau sudah ada sombong, otomatik lupakan Tuhan. Maka nafsu jadi Tuhan. Nafsu lebih dahsyat dari iblis sebab nafsu dari dalam. Iblis ambil peluang bila nafsu tamak, rakus maka ia subur-suburkan lagi. Iblis tidak dapat masuk bila nafsu sudah baik. Ia hanya dapat berbisik dari jauh. Macam orang pakai baju besi. Boleh tembak tetapi tidak masuk ke dalam. Tidak lut. Tapi bila nafsu sudah diutamakan, iblis hanya meniti saja. Nafsu itu highway kepada iblis dan syaitan.

Tiga perkara inilah punca hancurnya diri, hancurnya rumahtangga, masyarakat, negara dan dunia. Disebabkan oleh 3 perkara yang disebutkan tadi, inilah yang main peranan dalam kehidupan individu. Kalau dia duduk dalam jemaah, dia ambil peluang. Lebih-lebih lagi kalau suaminya jadi ketua dalam jemaah maka dia alatkan suami untuk kepentingan dirinya samada secara langsung atau tidak. Sebab itu bagi orang yang bermadu, walaupun dia kata poligami itu untuk perjuangan tetapi untuk praktiskannya payah. Setengah orang kata, “Saya tak ada ilmu tentang madu.” Betul kah? Banyak orang yang ada ilmu dan tukang syarah tetapi dia sendiri tidak boleh amalkan ilmu itu.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]



<< Home