Minda Mujaddid

11 October, 2004

ISLAM HADHARI

ISLAM HADHARI


Semenjak Perdana Menteri menyebut tentang perlaksanaan Islam Hadhari sedikit masa dahulu, ramai di kalangan rakyat turut menyebut dan mengulangi istilah yang sama. Baik di kalangan para-para menteri, timbalan-timbalan menteri, di kalangan wakil-wakil rakyat, pegawai-pegawai kerajaan, para ulama, para akademik, pengulas-pengulas di akhbar dan tidak ketinggalan juga rakyat biasa dari berbagai-bagai peringkat masyarakat.

Dalam isu-isu yang lain, orang memperkatakan terus pendapat mereka tentang isu yang menjadi persoalan. Suka tak suka. Pro dan kontra. Kesan baik dan kesan tidak baiknya dan berbagai-bagai lagi. Tetapi dalam isu Islam Hadhari ini, tidak banyak pendapat seperti itu dibincangkan. Tidak ada pendapat pro atau kontra, suka atau tak suka, kesan baik atau tidak baiknya. Ini kerana orang masih belum faham. Orang masih tertanya-tanya. Orang masih belum pasti apa sebenarnya Islam Hadhari itu. Oleh itu tidak ada siapa yang boleh memberi pandapat atau membuat apa-apa komen.

Kalau ada pun yang memberi reaksi, hanya setakat menyatakan kefahaman mereka tentang Islam Hadhari. Itu pun kefahaman mereka sahaja, tidak ada apa-apa yang pasti. Sebab tidak ada tempat rujuk. Islam Hadhari tidak disebut dalam Quran dan tidak disebut dalam hadis. Ulama-ulama muktabar dahulu pun tidak ada yang menyebutnya. Ia istilah baru atau istilah kontemporari. Ia hanya disebut oleh beberapa ilmuan mutakhir dan kefahaman ini belum meluas dan belum diterima umum.

Seperti juga istilah Islam Madani yang pernah dipopularkan satu ketika dahulu, ia juga adalah istilah kontemporari. Tidak ada dalam Quran dan tidak ada dalam hadis. Namun istilah Madani ini lebih mudah difahami sebab maksudnya terus dan direct. Bila dikatakan Islam Madani, maksudnya Islam yang maju lahir batin. Kalaupun orang tidak boleh bayangkan kemajuan batin atau rohaninya, sedikit sebanyak orang boleh nampak pembangunan dan kemajuan lahirnya seperti kereta mewah, gedung yang besar-besar dan sebagainya.

Madani adalah dari perkataan madana yang bermaksud kemajuan. Apabila ditambah “ya” dihujungnya menjadi madani, maka mengikut kaedah bahasa Arab, ia menjadi isim nisbah iaitu yang dibangsakan kepada kemajuan.

Hadhari adalah dari perkataan hadhara. Kalau hendak diterjemahkan dari segi bahasa, maknanya hadhir (hadir). Bila ditambah “ya” dihujungnya menjadi hadhari, maka maksudnya menjadi isim nisbah iaitu dibangsakan kepada hadhir.

Kalau maksud madani itu terus dan direct iaitu kemajuan, maksud hadhari pula tidak sebegitu direct. Orang tidak dapat kaitkan hadhir dengan Islam. Apakah itu Islam yang hadhir? Maksudnya kabur. Oleh itu istilah hadhari ini perlu diterjemah diulas dan dikupaskan lagi.

Terjemahan atau kupasan kepada istilah hadhir ini ialah realiti. Jadi Islam Hadhari ialah Islam Realiti. Realiti ialah yang sebenarnya, yang betul-betul Islam, yang tulin dan pure dan yang hakiki. Iaitu Islam sepertimana yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan di zaman para-para sahabat. Islam yang membawa kemajuan rohaniah dan lahiriah.

Bila diulas, dibahas dan dikupas, kita dapati hadhari dan madani itu kurang lebih sama maksudnya. Cuma madani senang difahami dan maksudnya jelas sedangkan hadhari maksudnya tidak jelas dan ia bersifat indirect. Yang berbeza hanya istilahnya sahaja kerana ianya dibawa oleh orang yang berlainan. Maksud, hakikat dan tuntutannya tetap sama. Islam itu satu sahaja. Iaitu seperti yang diajar dan dibawa oleh Rasulullah SAW.

Kalau ada Islam yang berbeza dari itu, maka bukan Islamlah namanya. Islam itu satu, berasaskan Quran yang satu dan dibawa oleh Rasul yang satu. Oleh itu ia mesti satu pada bila-bila masa pun. Kecuali dalam hal-hal furuk yang kita dibenarkan bermazhab.

Namakanlah Islam itu madani ataupun hadhari ataupun apa-apa istilah yang lain, ia tetap Islam seperti yang dibawa oleh Rasulullah SAW, kerana kalau dikatakan Islam, tidak ada Islam lain selain daripada itu. Kalau berbeza maka ia dengan sendirinya tertolak.

Sebenarnya, kalau disebut Islam sahaja pun sudah cukup. Istilah-istilah dan slogan-slogan yang lain sebenarnya tidak menambah apa-apa kepada istilah Islam. Yang penting umat Islam mesti memahani betul-betul Islam seperti yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Bukan Islam ikut fahaman sendiri atau ikut fahaman kelompok-kelompok yang tertentu. Oleh itu jangan kita terkeliru dengan istilah Madani atau Hadhari. Walaupun bunyinya hebat dan mengkagumkan, ia sebenarnya tidak ada membawa apa-apa maksud baru atau maksud-maksud tambahan kepada istilah Islam yang sebenarnya.

Oleh kerana tajuk yang sedang diperkatakan ialah tentang Islam Hadhari, maka kita pinjam istilah Islam Hadhari ini bagi menerangkan Islam yang sebenar atau Islam Realiti dan Islam Hakiki. Apa yang dimaksudkan dengan Islam yang sebenar atau Islam Hadhari itu ialah Islam yang indah dan bersifat global. Semua aspek Islam terbawa dalam setiap tindakan. Aqidah dan syariat terbawa dan berlaku dalam semua aspek dan tempat, samada dalam diri sendiri, rumahtangga, masyarakat, pejabat, pentadbiran, ekonomi, pendidikan, kebudayaan, pertanian, hiburan, perhubungan, dalam negara dan dalam hal-hal antarabangsa. Begitulah indahnya Islam Hadhari.

Islam Hadhari itu membawa tamadun. Oleh kerana ia bersifat global dan terlalu luas, mari kita bincang aspek-aspek yang tertentu sahaja supaya nampak jelas ketamadunannya. Islam Hadhari membawa dua bentuk tamadun iaitu pertama yang bersifat rohani atau maknawi dan yang kedua yang bersifat material. Tamadun material tidak perlu disebut atau dibincang sebab ia sudah maklum dan mudah difahami. Kalau kita lihat pembangunan yang ada sekarang, ia akan ditambah lagi. Kalau sedikit pembangunan, ia akan jadi banyak. Kalau tidak canggih, akan menjadi lebih canggih. Dengan gedung-gedung dan pencakar langitnya. Dengan lebuhrayanya. Dengan pelabuhan kapal dan lapangan terbangnya. Dengan jambatan-jambatan yang merentas sungai dan laut. Sistem komunikasi, ICT dan berbagai-bagai lagi. Ini semua boleh dilihat oleh mata. Kerana itu, ia mudah difahami.

Namun tamadun yang bersifat rohani dan maknawi lebih susah untuk difahami. Di samping itu, ruang lingkup tamadun rohani ini lebih luas dan ia tidak dapat dibincangkan dalam semua aspek. Biasanya orang memahami tamadun rohani itu sebagai kemajuan kemanusiaan dan keinsanan. Manusialah yang hendak ditamadunkan. Tetapi disebabkan yang bercakap tentang Islam Hadhari ini ialah Perdana Menteri sendiri, sudah tentulah tamadun rohani yang dimaksudkan bukanlah kemajuan manusia secara umumnya tetapi manusia yang bersabit dengan pentadbiran kerajaan. Bagaimana cara hendak membangunkan tamadun rohani dalam diri-diri manusia yang terlibat dengan pentadbiran negara? Dalam semua kementerian dan jabatan-jabatan dan dalam semua agensi-agensi kerajaan. Yang kemudiannya akan diikuti oleh rakyat. Ini yang susah dan ramai yang tidak faham.

Tentang tamadun material, negara kita tidak ada masalah. Berbagai-bagi kemajuan dirancang dan dilaksanakan. Ada rancangan lima tahun dan berbagai-bagai rancangan pembangunan yang lain. Hingga kita sudah jadi model kepada negara-negara membangun yang lain di dunia. Tetapi dalam hendak membina dan membangunkan tamadun rohani di dalam pentadbiran negara, kita bingung dan buntu. Kita tidak nampak jalan dan tidak tahu kaedahnya.

Apa yang nyata, selagi tamadun rohani itu tidak dibangunkan terutama dalam pentadbiran negara, maka selagi itulah kita belum mencapai apa yang dinamakan Islam Hadhari. Kerana Islam Hadhari itu menuntut kedua-dua tamadun itu ditegakkan. Setakat menerap nilai-nilai Islam sahaja tidak memadai. Manusianya tidak akan berubah. Ia tidak akan membawa kepada suatu tamadun.

Tambahan pada itu seperti juga tamadun material, tamadun rohani ini tidak boleh dibangunkan oleh rakyat jelata atau diserahkan kepada rakyat untuk membangunkannya. Rakyat hanya mengikut. Pemimpin kerajaanlah yang mesti memulakannya. Yang hendak melaksanakannya pula ialah pegawai-pegawai di jabatan dan kementerian. Barulah kemudiannya diikuti oleh rakyat jelata.

Kalau tamadun material bersangkut dengan benda, tamadun rohani pula bersangkut dengan manusianya. Manusianyalah yang hendak dibangun dan ditamadunkan. Manusianyalah yang hendak dihadharikan atau dimajukan. Bagaimanakah hendak kita majukan manusia yang terlibat dengan kerajaan, bermula dari pemimpin, pegawai-pegawai dan seluruh kakitangannya. Inilah persoalannya.

Oleh kerana organisasi pentadbiran kerajaan itu besar, mari kita lihat pada satu bahagian sahaja bagaimana orang-orang kerajaan dapat dibangunkan atau dihadharikan. Mari kita lihat dalam satu daerah pentadbiran yang diketuai oleh seorang Pegawai Daerah (DO) seperti Daerah Gombak contohnya. Mari kita lihat bagaimana DO Daerah Gombak boleh menghadharikan orang-orang di bawah pentadbirannya sebagai menyahut seruan Perdana Menteri untuk melaksanakan Islam Hadhari.

Di pejabat daerah, ketuanya adalah DO. Di bawahnya ada ketua Penolong Pegawai Daerah. Di bawah itu pula ada beberapa Penolong Pegawai Daerah (ADO) dengan portfolio atau tugasnya masing-masing. Ini diikuti oleh pegawai-pegawai tadbir, pegawai-pegawai kerani dan lain-lain.

Apakah yang mesti dilakukan oleh DO untuk menghadharikan orang-orang di dalam pejabat dan daerahnya.

DO selaku pemimpin nombor satu di daerah itu, kalau hendak mencetuskan Islam Hadhari di pejabat atau di daerahnya, maka dia mesti bertindak sebagai seorang pemimpin, guru, ayah, ibu dan kawan yang setia kepada orang-orangnya. Jelas di sini, DO tersebut mestilah ada lima watak.

Bila dia membuat arahan atas dasar kerja, itu watak pemimpin. Supaya seluruh pekerja-pekerja itu faham bagaimana hendak bekerja dan supaya setiap masa bertambah tenaga dan pekerja pula bertambah faham.

DO juga mesti tentukan anak-anak buahnya ikhlas bekerja, tidak ponteng atau curi tulang. Ini tentulah hendak diajar dan hendak diberi kesedaran. Paling tidak, ada satu pengajian yang DO sendiri ajarkan. Supaya orang-orangnya subur jiwa. Bertambah berkasih sayang dan terjadinya tolak ansur dan kerjasama di kalangan mereka. Itu semua hendak disuburkan selalu. Jadi seorang DO kena ada ilmu sebab dia juga mesti berwatak sebagai seorang guru.

Bila pula dikatakan watak ayah? Gambarkan dalam sebuah rumahtangga. Macam mana keadaan seorang ayah dengan sesiapa saja yang ada di dalam rumahnya seperti anak isteri, cucu, adik-beradik dan sebagainya. Dia mesti bertanggungjawab. Tetapi bertanggungjawab yang bagaimana? Kalau rumahtangga itu di bawa ke pejabat, maksudnya, kalau ada pekerja yang sakit, dialah yang menguruskannya. Sebab pekerja itu umpama anaknya sendiri. Kalau tidak ada duit untuk membeli ubat, katakanlah kerajaan tidak berikan wang dan ia menjadi tanggungan sendiri, maka dia sebagai seorang ayah mesti berpakat dengan anak-anaknya yang lain. Di pejabat, anak-anak itu adalah pekerjanya. Maka bila ada orang sakit, dia hendaklah mengajak pekerja-pekerjanya bersama-sama bertolong-bantu agar dapat membawa orang yang sakit ke hospital swasta misalnya. Itulah sifat atau sikap seorang ayah.

Kalau mendengar ada pekerja yang sakit, dia kena ziarah. Kalau tidak boleh menziarah kerana sibuk, maka dia mesti mengarahkan pekerja lain untuk menziarah. Seorang ayah akan mengingatkan keluarganya, kalau ada kawan sakit mesti pergi ziarah. Pada orang yang sakit pula disuruh sabar. Kemudian siapa yang belum kahwin, dia harus kahwinkan atau carikan jodoh. Jangan dibiarkan anak buah begitu sahaja. Kadang-kadang pekerja itu tidak faham bagaimana hendak menguruskannya sendiri. Sesetengah orang itu segan. Jadi sebagai ayah mesti faham. Bila dijodohkan, tentulah hendak dibuat kenduri. Berpakatlah adik-beradik. Di pejabat itu sudah dianggap adik beradik. Kita tanggung bersama dan buat kenduri bersama.

Contohnya, ada yang bawa beras, ayam, daging, gula, kambing dan lain-lain. Indahnya. Itulah ayah di pejabat, bertanggungjawab kepada anak-anak di pejabatnya. Inilah yang dikatakan Islam Hadhari. Kemudian, selepas berkahwin 3 bulan, pasangan pula mula bergaduh. Ayah susah hati. Janganlah terus pergi kepada kadhi. Dalam ajaran Islam, berjumpa kadhi itu adalah jalan yang terakhir sekali. Macamlah anak dan menantu bergaduh di rumah kita. Jangan disuruh pergi berjumpa kadhi. Tidak mungkin seorang ayah terus menyuruh anaknya berjumpa dengan kadhi. Tentu dia mahu bertanggungjawab. Contohnya, anak menantu itu dinasihati dan diambil tahu masalah mereka. Kalau di pejabat daerah ada yang bergaduh, DO lah yang akan menyelesaikan masalah mereka. Kalau perkara ini berlanjutan hingga 6 bulan tidak selesai juga, barulah langkah terakhir diambil. Dalam kes ini, sekiranya berlaku pergaduhan suami isteri, barulah merujuk kepada kadhi. Inilah jalan terakhir. Begitulah tanggungjawab seorang DO yang berwatak seorang ayah. Dia tidak boleh berfikiran bahawa masalah pekerja adalah masalah peribadi mereka yang mesti diselesaikan sendiri oleh pekerja itu. Itu adalah cara Barat dan cara Yahudi yang tidak langsung menampakkan keindahan. Cara Islam tidak begitu.

Bagaimana pula berwatak ibu ? Ibu adalah tempat bermanja dan tempat mengadu. Kadang-kadang hendak mengadu pada ayah tidak tergamak, apatah lagi bila hendak meminta duit pada ayah. Rasa malu jadi berjumpalah dengan ibu. Ibu selalunya menjadi perantaraan antara anak dan ayah. Jadi, ibu itulah tempat bermanja.

Maknanya kalau ada kakitangan di pejabat yang ada masalah, dia sanggup berjumpa DO untuk mengadukan masalahnya kerana dia anggap DO itu sepeti ibunya. Betapa indahnya bila ia terjadi begitu. Contohnya, seorang pekerjanya tinggal di kawasan yang ada orang jahat atau gangster menyebabkan dia selalu ketakutan. Tidak mungkin dia dapat mencari rumah lain dengan mendadak. Waktu itu, DO itulah seolah-olah ibunya. DO lah yang akan bertindak menyelesaikan masalahnya. Tidakkah itu indah?

Sekali-sekala menjadi kawan setia. Bagaiman DO dapat menjadi kawan yang setia? Itu boleh dilakukan dengan mengutamakan pekerja-pekerjanya. Mengutamakan orang-orang bawahannya. Sangat bertimbangrasa dengan orang-orang bawahnya. Itulah watak sahabat. Setia dengan orang-orangnya. Ertinya setia dengan sahabat. Kalau DO itu mampu berbuat demikian kepada orang-orangnya seperti yang digambarkan, iaitu berwatak pemimpin, guru, ayah, ibu dan kawan, maka berlakulah apa yang dikatakan hadhari.

Perkara yang sama juga patut belaku di kampung-kampung, kementerian-kementerian, sekolah-sekolah dan institusi-institusi. Maka terlaksanalah kehidupan masyarakat hadhari. Kehidupan menjadi cantik dan indah. Dunia sudah menjadi syurga sebelum syurga. Masalah selesai sebab ada banyak tempat mengadu. Di rumah ada ibu dan ayah memimpin kita dan di pejabat pula, majikan kita memimpin dan menjadi tempat mengadu.

Katalah di peringkat DO tidak selesai, ada wakil rakyat pula di pihak atasannya. Wakil rakyat boleh ambil alih tugas-tugas tersebut iaitu sebagai pemimpin, guru, ayah, ibu dan kawan. Kalau tidak selesai juga, pergi pula kepada kementeriannya. Kalau tidak selesai juga, baru pergi kepad pemimpin yang paling tinggi iaitu Perdana Menteri. Kalau tidak selesai juga, maka barulah berjumpa dengan pihak kadhi dan sebagainya. Itulah caranya mengikut ajaran Islam. Sudahkah perkara ini dijadikan pengajian? Ternyata kita belum pernah mendengarnya. Jauh sekalilah untuk mengamalkannya.

Ini ilmunya. Ilmu ini perlu ada dahulu dan perlu difahami dan dihayati. Kemudian ia mesti difahamkan kepada orang lain pula. Setelah semuanya faham barulah bertindak. Akan lahirlah buahnya iaitu manusia yang hadhari yang akan membawa pula kepada Islam Hadhari dan masyarakat hadhari. Apa yang belaku di pejabat daerah Gombak seperti yang diceritakan di atas boleh diqiaskan dan diamalkan di semua jabatan-jabatan kerajaan yang lain.

Islam Hadhari tidak boleh disalahfaham. Kaum-kaum lain dan orang bukan Islam tidak perlu takut atau bimbang. Islam Hadhari bukan bersifat agama semata-mata iaitu hanya meyakinkan Tuhan dan melibatkan cara peribadatan, penyembahan dan sembahyang. Walaupun negara mengajak kepada Islam Hadhari, ini tidak bermakna negara mengajak semua kaum dan bangsa memeluk Islam.

Yang bersifat agama, iaitu soal Tuhan dan soal penyembahan, masing-masing rakyat boleh pertahankan agama, kepercayaan dan pegangan masing-masing. Dalam Islam, soal Tuhan, kepercayaan dan agama tidak ada paksaan. Itu adalah hak asasi setiap manusia. Bahkan kalau ada orang tidak mahu percayakan Tuhan pun, tidak ada siapa yang boleh paksa. Agama adalah hak peribadi setiap manusia. Jadi tidak perlu bimbang.

Tetapi untuk kepentingan bersama di dunia, khususnya bagi semua kaum, bangsa dan etnik dalam sebuah negara, kita boleh mencari jalan dan sistem yang menjamin keselamatan dan keharmonian. Itulah sebabnya, di dunia hari ini, dasar setiap negara adalah berasaskan prinsip yang bukan ciptaan negara itu sendiri. Ia diambil dari negara atau bangsa lain dan disesuaikan untuk kegunaan sendiri. Ini semua bagi tujuan untuk mencapai keadilan dan keselamatan.

Sebagai contoh, asas undang-undang bagi kebanyakan negara di dunia adalah berasaskan perundangan dan sistem Islam dari zaman kegemilangannya. Barat yang terlebih dahulu menggunakan perundangan Islam sebagai panduan. Kemudian ia dari masa kemasa diubah dan disesuaikan dengan keadaan dan perubahan zaman. Orang Barat tidak membantah. Mereka nampak akan kebaikan dan manfaatnya. Orang Barat tidak pula memeluk Islam. Mereka boleh ambil sisem dan perundangan Islam tanpa memeluk agama Islam. Mereka ambil cara hidup dan perundangan Islam tetapi tidak mengambil agamanya. Mereka tetap dengan agama asal mereka. Maka jelas bahawa sistem, peraturan dan cara hidup Islam boleh diambil tanpa mengambil agamanya. Sistem, peraturan dan cara hidup Islam memang sesuai untuk semua manusia, tidak kira apa kaum, bangsa, etnik ataupun agama.

Contoh lagi ialah demokrasi. Demokrasi adalah ajaran dari Barat. Tetapi banyak negara di timur mengamalkan demokrasi mengikut acuan masing-masing. Perkara ini tidak dipertikaikan oleh rakyat mereka. Begitu juga komunisma dan sosialisma. Ia juga ajaran dari Barat. Pengasasnya ialah Karl Marx. Negeri China mengamalkan komunisma. Rakyat China tidak membantah.

Bahkan dunia sedang mencari-cari ajaran dan sistem-sistem yang baru untuk diamalkan kerana demokrasi, komunisma dan sosialisma nyata sudah nampak kelemahannya. Ianya punca krisis, perpecahan, ketidakadilan, kerosakan moral dan akhlak dan peperangan. Kalau Perdana Menteri hendak negara mengamalkan Islam Hadhari, itu tidak salah. Islam Hadhari adalah satu sistem yang boleh dipakai untuk pentadbiran negara. Malahan ia mungkin sistem yang terbaik untuk negara kita. Kerana Islam itu bukan sahaja bercorak agama. Ia adalah juga cara dan peraturan hidup (way of life) dan cara bernegara atau tatanegara yang sesuai bagi semua kaum dan bangsa walaupun tidak Islam. Bagi yang bukan Islam, tidak perlu ambil agamanya tetapi boleh ambil tatanegara dan peraturan hidupnya sepertimana juga kita mengambil demokrasi.

Bagi Malaysia, Islam Hadhari mungkin lebih baik dari demokrasi. Ia lebih menjamin perpaduan kaum, keharmonian dan keselamatan. Mari kita lihat keindahannya. Kalau tidak pada agamanya, pada cara hidup dan peraturannya dan dalam konteks tatanegaranya.

Apa erti Islam? Islam ertinya keselamatan. Keselamatan termasuklah keadilan, samada disegi undang-undang, keadilan mendapat pekerjaan, keadilan pengagihan kekayaan mengikut kemampuan dan kebolehan. Keselamatan termasuk berkasih sayang, bersatu padu, rasa bersama dan bekerjasama yang semua orang perlukan. Keselamatan termasuk tolong-menolong, bela membela dan bertolak ansur. Keselamatan juga ialah hormat menghormati antara satu sama lain, tidak boleh hina menghina kerana berlainan agama atau bangsa. Keselamatan juga ialah kebebasan melaksanakan apa yang jadi hak asasi masing-masing mengikut undang-undang dan peraturan supaya tidak ada pelanggaran. Itulah maksud keselamatan mengikut pengertian Islam.

Apa erti Hadhari? Hadhari ertinya kemajuan. Kemajuan yang membawa kemakmuran. Makmur disegi makan minum dan pakaian. Cukup keperluan asas seperti tempat tinggal, alat-alat perhubungan, alat-alat pentadbiran dan kemudahan mencari ilmu dan pengetahuan. Alat-alat pula canggih mengikut keperluan dan zaman. Kampung maju dan bandar pun maju. Kelengkapan ketenteraan moden dan canggih.

Itulah Islam Hadhari iaitu gabungan antara pembangunan insan dan kemajuan material. Dua perkara yang diperlukan oleh setiap insan, bangsa dan negara mengikut zaman. Keselamatan, keharmonian, kemajuan dan kemakmuran yang dibawa oleh Islam Hadhari adalah idaman setiap manusia. Islam Hadhari itulah sebenarnya yang diidam-idamkan oleh rakyat berbilang kaum di Malaysia. Hanya mereka tidak sedar dan tidak tahu. Ia khabar gembira bagi seluruh rakyat. Ia perubahan yang benar-benar kita perlukan. Kalau tertegak Islam Hadhari, akan berlaku satu perubahan yang luarbiasa dan sangat menguntungkan. Integrasi dan perpaduan kaum akan menjadi kenyataan. Jenayah dan gejala masyarakat yang menakutkan dan memeningkan kepada semua kaum akan berkurangan.




3 Comments:

  • assalamualaikum...apa yang sy nak komen ini ialah ttg istilah islam hadhari itu sendiri..bkn kah dengan penambahan perkataan 'hadhari' itu menunjukkan bhw islam tu blm cukup lengkap..sebenarnye kalau boleh sy nak saudara cuba jelas kan dengan lebih detail ape bezanya antara islam hadhari dengan hadhariah islamiah...sy rasa terdapat perbezaan yang jelas jauh bezanya..begitu bukankah..sy harap saudara dpt tlg jelaskan dr segi istilah...yang saya tak setuju ttg kenapa kita nak rs bangga dgn islam hadhari iaitu yang menekankan pembangunan dan rohani..maksud saya, bknkah saudara ada menyebut ttg betapa syumulnya islam..islam sudah pun menggariskan syariat yang meliputi semua bahagian..undang2, ekonomi, muamalat...islam itu sendiri dah melambangkan ketamadunan..kenapa perlu kita tambah istilah hadhari ini? kenapa kita nak menafikan perkataan islam itu..sebenarnya sekularisme tlh menjajah pemikiran kita, iaitu mengasingkan agama dgn kehidupan..bg orang islam, salah and dosa besar bg sesiapa yang menganggap islam itu hanya agama..dan segala perundangan yg disyariatkan oleh Allah tdk sesuai dgunakan utk setiap ms...kononnya tak sesuai dgn masakini..adalah bodoh sama sekali orang yang beranggapan demikian..dan rugilah mereka..tidakkah kita nampak betapa indahnya islam, jika ia dipraktikkan seluruhnya..kita tak nampak keihdahan islam di negara kita sebab orang2 islam tidak praktikkan kandungan al-quran dan hadis..malah, mereka ambil ape yang dirasakan patut, dan melontar jauh ape yang mereka rasakan berat utk dilaksanakan..patutkah kita bersikap demikian jika akidah kita berpegang bhw islam agama fitrah..maksudnya ape yang tlh disyariatkan oleh islam sepatutnya kita ikut tanpa ada argument...kenapa kita sering mempersoalkan sedang kita takde pun hak utk berbuat demikian..sapelah kita hendak mengubah ciptaan Allah...mmg takde paksaan dlm islam..tp hanya utk mereka yang tidak berugama islam..tetapi amal ma'ruf nahi mungkar wajib ditegakkan pd orang2 yang mengaku mereka beragama Islam..sekian, wassalam...

    By Anonymous Anonymous, At 5:18 PM  

  • Maksud firman Allah: “Sesungguhnya cara hidup yang diterima di sisi Allah, ialah Islam.” (Ali-Imran:19). Dalam satu ayat lain pula, Allah mengingatkan kita, ”Barangsiapa yang mengambil selain Islam sebagai cara hidup, maka sekali-kali tiadalah diterima daripadanya, sedang di akhirat mereka termasuk orang-orang yang rugi.” (Ali-Imran:85)

    Berpandukan dua ayat di atas, maka ia merujuk kepada ajaran Islam itu sendiri. Cara hidup atau ajaran yang diterima dan diredhai Tuhan, ialah ajaran Islam. Selain Islam, jika ada ajaran agama selainnya maka otomatik ia tertolak. Tambahan daripada itu, ajaran Islam yang dimaksudkan ini mestilah tepat mengikut kehendak Tuhan. Mengikut kehendak Tuhan di sini, maknanya, mestilah ia sesuai dan bertepatan sepertimana yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Tidak boleh ajaran itu lari atau terpesong. Tidak boleh pula ajaran itu dicelahi fahaman-fahaman yang boleh menyalahi kaedah yang dibawa oleh Rasulullah. Kenalah ajaran Islam itu dipraktikkan secara kaaffah atau menyeluruh sepertimana yang Rasulullah praktikkan.

    Jadi, ini yang perlu difahami. Merujuk pada ayat di atas, ia merujuk pada ajarannya. Bukan pada istilahnya sahaja. Juga, apa yang Rasulullah bawa itu adalah ajarannya. Istilah itu hanya mengikut sahaja. Kalaulah ada di waktu ini, penambahan pada istilah baik “Islam hadhari” atau “Islam madani”, tetapi ajarannya tidak berubah, ajarannya tidak lari daripada yang seperti Rasulullah bawa, maka tidaklah menjadi kesalahan. Bila ia menjadi kesalahan? Bilamana penambahan istilah itu membawa kepada perubahan ajaran. Atau ia membawa kepada penambahan yang bertentangan dengan kaedah Rasulullah. Juga, tidak sesuai dengan kehendak Tuhan dan tidak sesuai dengan sunnah Rasulullah. Maka dengan itu, ianya otomatik akan tertolak dan tidak sepatutnya diterima.

    Apa yang ingin ditekankan di sini, bukan persoalan istilah itu yang harus kita bangkitkan. Yang menjadi titik tolak di sini ialah persoalan ajaran. Apakah ajaran yang dibawa oleh sesuatu kelompok atau individu itu sesuai dengan kehendak Tuhan dan mengikut sepertimana cara Rasulullah? Kalaupun istilah tidak berubah, masih lagi menggunakan istilah “Islam”, namun ajarannya sudah terpesong dan tak menepati sepertimana cara Rasulullah, maka ini juga tertolak dan tidak boleh diterima. Betapa, ramai orang hari ini menggunakan istilah “Islam”, tetapi cara hidup dan kaedah mereka tidak pula sesuai dengan Islam. Tidak juga sesuai dengan sunnah Rasulullah. Ini tidak pula ada orang yang ingin pertikaikan. Walhal, ini lebih besar dan patut diberi perhatian. Sebab ia melibatkan soal ajaran. Kalau tertolak ajaran, mana mungkin Allah terima.

    Oleh itu, fahamilah maksud antara ajaran dan istilah. Jangan kita persempitkan isu istilah ini hinggakan soal ajaran Islam itu dikesampingkan. Sedangkan soal ajaran itulah yang patut kita beri perhatian dan bersungguh-sungguh melaksanakan. Sekian.

    Posted by Fazel.

    By Anonymous Anonymous, At 4:12 PM  

  • HENTIKAN DEBAT ISLAM HADHARI?





    Seruan dalam ruang Agama Mingguan Malaysia yang menganjurkan semua pihak “hentikan debat mengenai slogan dan istilah Islam Hadhari” benar-benar mengesahkan bahawa istilah itu telah mencetuskan banyak kekeliruan dan syak akan maksud dan tujuannya.



    Kita sangat boleh bersetujulah dengan kenyataan Dr. Ismail Ibrahim yang berbunyi, “Islam itu satu, iaitu satu agama yang datangnya daripada Allah untuk umat manusia seluruhnya, bukan untuk orang Inggeris atau Melayu, atau Arab dan orang Afrika, bukan untuk orang UMNO atau PAS.” (Mingguan Malaysia 4 Julai 2004). Inilah pun yang selalu saya tegaskan. Saya boleh sahkan juga di sini bahawa apa yang dipetik oleh Dr. Ismail dengan mengambil kata-kata saya yang berbunyi, “Islam itu merangkumi Islam dan iman iaitu Islam di luar dan iman di dalam”adalah benar. Kata-kata saya yang berbunyi, “Islam yang tidak menyebut soal pegangan kepada Al-Quran dan Hadith adalah ditolak” seperti yang dipetik oleh Dr. Ismail selanjutnya juga adalah benar.



    Jika semua kenyataan ini adalah benar, maka Islam dari jenis lain, yang tidak mahu sebut Al-Quran dan Hadith tentunya Islam kosmetik. Islam Hadhari cuma bercelak dan berbedak seperti yang diumpamakan oleh Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan itu.



    Namun, pendapat saya mungkin berbeza sedikit apabila melihat anjuran Dr. Ismail supaya umat Islam menghentikan perbincangan atau perdebatan mengenai Islam Hadhari. Tidakkah berbincang, berbahas dan bermuzakarah adalah semangat Islam? Allah S.W.T. mengizinkan manusia berdebat dan bermuzakarah dalam apa jua perkara. Cuma hakimnya ialah dengan merujuk kepada Al-Quran dan Hadith sebagai sumber pemutus yang qat’in.



    Dalam semangat menjelas dan memberikan keterangan, apa yang PAS jadikan motto cuma berbunyi “Membangun Bersama Islam”. Kami tidak berhajat sedikitpun untuk mendefinisi semula Islam. Ia adalah Islam yang satu. Ia wajib asli. Ia mesti original seperti yang dilancarkan oleh Rasulullah S.A.W. kira-kira 1,425 tahun dahulu tanpa tokok tambah. Kita berpuas hati dan redha dengan Islam yang syumul, kamil dan komprehensif dan biar ianya kekal begitu sampai bila-bila. Jika kita perlu bangun, kita perlu bangun bersama dengan Islam. Jika saya pinjam kata-kata Dr. Ismail, “Islam yang hendak diberi kefahaman itu adalah Islam hakiki dan fundamental dimana asas komponennya terdiri dari akidah, syariah dan akhlak.” Inilahpun yang PAS sedang berikhtiar.



    Buktinya, Kerajaan Negeri Kelantan telah memindahkan akaun Kerajaan ke dalam Bank Islam. Kerajaan Negeri juga mengeluarkan pekeliling dan kempen bagi menggalakkan amalan penutupan aurat. Kita juga menyediakan sistem pajakan alternatif secara Ar-Rahn. Kita wajibkan semua Rumah Awam Kos Rendah dibina dengan 3 bilik. Kita kawal premis penjualan arak. Kita tutup semua premis judi. Kita adakan kawalan hiburan melalui Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998. Kita adakan Yayasan Islam Kelantan dan asaskan sistem pendidikan yang berpaksikan adab, akhlak, ilmu dan amal. Tidakkah usaha-usaha ini di asaskan di atas kesedaran akidah, syariah dan akhlak? Semuanya ini telah kita laku dan akan terus kita ikhtiarkan. Inilah membangun bersama Islam. Kami tidak ‘modify’ Islam atau mengistilahkan Islam dengan tokok tambah yang lain. Islam adalah Islam. Kami cuma menurut, patuh dan mengikut kehendak Islam untuk membangun.



    Apa yang menimbulkan kesangsian ialah apabila Islam itu pandai-pandai dijenamakan dengan Islam Madani dan kini Islam Hadhari. Lepas satu jenama ke satu jenama; Islam itu diarak. Islam dibawa berpindah randah tanpa diketahui akan kepentingannya.



    Tentunya apa yang mustahak ialah soal amalnya. Sekali lagi saya boleh bersetuju dengan Dr. Ismail yang menekankan faktor ilmu dan pengisiannya. Jika begitu, apa perlunya dipecah-pecahkan Islam kepada hadhari atau non-hadhari? Perlu apa pula dicerai-ceraikan Islam itu kepada pecahan-pecahan yang menyerupai sub-budaya (sub-culture) seperti Islam toleransi, Islam hikmah, Islam dinamik dan Islam Pembangunan. Inipun juga telah dipersoalkan oleh Dr. Ismail dengan kata-kata, apalah bezanya Islam Hadhari dengan Islam dinamik, Islam tamadun dan Islam toleransi?



    Kita perlu faham yang setiap sesuatu perlu betul niatnya. Biar ada usul ‘zukhrina’ yang bererti cagaran. Jika suntuk dan kesukaran di akhirat, amal yang dilaksanakan di dunia boleh dijadikan cagaran di hadapan Allah. Islam Hadhari Umno dan negara Islam yang diisytiharkan Umno ini bolehkah dijadikan cagaran? Negara Islam bagaimana jika tanpa apa-apa perubahan? Islam jenis ini yang menghalalkan arak, judi dan tiada halangan untuk bergaula bebas dan mendedahkan aurat dapatkah dijadikan cagaran di akhirat?



    Hatta jika di dalam sembahyang yang riak pun tidak diterima oleh Allah kerana rosak niatnya maka bagaimana Islam Hadhari boleh dijadikan sandaran dan tempat bergantung untuk berhujah di hadapan Allah kelak? Niat mesti betul. Struktur mesti betul. Jangan main suka-suka.



    Keadaan menjadi semakin kalut apabila Pemimpin UMNO mula di asak dengan pertanyaan. Mereka kelihatan mulai lemas. Mereka cuba mencari ulama’ setempat termasuk dari timur dan barat untuk menghalalkan konsep “hadhari”nya. Kalau hadhari itu bermakna tamadun, maka Kerajaan Kelantan yang dipimpin oleh PAS telah membinanya dalam bentuk tindakan. Sementara UMNO baru diperingkat cuba menjaja pakej Islam Hadharinya secara “direct selling”di tahun 2004, kami telah jauh berada beratus kilometer di hadapan dalam usaha-usaha pelaksanaan. Tunjukkanlah mana satukah diantara usaha yang dibuat oleh kami bersifat anti tamadun sebagaimana tamadun akhlak yang diasaskan oleh Rasulullah S.A.W. Saya tidak ada masalah untuk mendengar kritikan jika ada bukti yang kami membangun dengan mengkhianati sifat-sifat akhlak seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah S.A.W. Jika mahu bertahan sangat dengan Islam Hadhari atau Islam tamadun yang kelihatan cuba dipaksa masuk ke kerongkong rakyat, maka kami tidak ada masalah. Kami telah menjadi pelopor sekurang-kurannya sejak dari tahun 1990 lagi. Di masa itu, saya kurang pasti pemimpin UMNO sedang berada di mana! Kini, setelah 15 tahun berlalu, mereka sibuk berhadhari pula. Belumpun selesai melumatkan usaha penerapan nilai-nilai Islam, dan belumpun reda nafas kerana masih mengah mahu mengislamkan negara yang tidak juga-juga menjadi Islam; kini mereka mahu menjual jenis Islam dalam peket bedak hadhari! Yang kelirunya ialah rakyat. Mereka seakan-akan sengaja melontar bom asap dan dalam kelam asap itulah mereka melakar semula wajah Islam supaya selaras dengan nafsu sekular. Pada saya,Islam Hadhari itu adalah Islam sekular. Ia sejenis Islam yang di bancuh semula oleh Umno untuk memisahkan dunia dari akhirat.



    Dalam hal ini, kita sesungguhnya amat kesiankan rakyat khususnya para penjawat awam. Merekalah yang sering menjadi mangsa dan kumpulan sasar untuk disyarahkan. Faham tak faham, itu perkara kedua. Mereka dikurung dalam kem latihan dan pelbagai dewan dan institut kefahaman di segenap ceruk rantau untuk disogok dengan Islam berbaju baru. Debat tidak perlu. Terima saja! Saya sesungguhnya khuatir. Jangan-jangan rakyat lebih faham apa itu Islam sebenar. Mereka lebih arif dari pemimpin Umno. Mereka lebih kenal jenis Islam saduran yang berwajah pepat mainan Umno. Bunganya lebat, wanginya tidak. Pisangnya hangus, masaknya tidak !











    NIK ABDUL AZIZ NIK MAT

    Bertarikh : 24 Jamadil Awal 1425 / 12 Julai 2004

    By Anonymous Anonymous, At 11:48 AM  

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]



<< Home