Minda Mujaddid

30 December, 2005

Hikmah Tahun Baru

HIKMAH TAHUN BARU
28/12/2005


Bagaimanakah sepatutnya umat Islam menyambut tahun baru? Tahun baru Masihi atau tahun baru Hijriah walaupun berlainan tempat rujuknya, yang satu dirujuk kepada Nabi Isa yang satu dirujuk kepada hijrah Rasulullah, namun satu tahun adalah mengandungi 12 bulan.

Mengapa satu tahun ada 12 bulan?

Mesti ada hikmah yang tersirat mengapa 1 tahun ada 12 bulan?!

12 bulan masa yang singkat, kalau dibandingkan dengan masa yang jauh di hadapan buat umur yang panjang tetapi ia masa yang panjang buat ukuran satu dekad ke hadapan.

Di dalam satu tahun ada 12 bulan, setiap insan kenalah muhasabah segala perbuatan, untuk mengukur kejayaan satu tahun.

Kalau satu dekad bagaimana pula kejayaan yang dihasilkan akan dapat diagakkan. Lebih-lebih lagi umat Islam di dalam satu tahun kenalah pandang ke belakang dan pandang jugalah ke hadapan, bukan memikirkan hendak menyambut tahun baru secara pesta dan perayaan, agar kita sentiasa membuat perubahan kepada kebaikan dan seterusnya menjadi umat yang menguasai dunia global yang gemilang.

Ukuran kejayaan satu tahun kenalah diukur di semua bidang, dengan itu kita akan dapat mengukur kejayaan atau kegagalan itu di semua bidang atau di sesetengah bidang atau di semua persoalan.

Aspek yang gagal kenalah buat kajian kerana apa ia gagal, yang berjaya diteruskan untuk disuburkan.

Umat Islam apabila berhadapan dengan tahun baru di semua aspek kenalah post mortem bukan sibuk membuat perayaan. Kalau mahulah umat Islam ini menjadi maju, bertamaddun dan menempa sejarah gemilang seperti zaman silam, mari kita buat muhasabah itu atau post mortem!

Muhasabah atau post mortem ada beberapa aspek untuk kita faham, yang bersifat peribadi, keluarga, masyarakat, tugas yang diberi tanggungjawab, bagaimana peranannya, juga tanggungjawab dalam jemaah.

Bersifat peribadi adakah kita menghayati rukun iman, mengerjakan rukun Islam, berakhlak mulia seperti tawadhuk, pemurah, berkasih sayang, sabar, redha, pemaaf.
Jika ada keluarga, tanggungjawab kita kepada keluarga disempurnakan atau tidak, berkasih sayang, bekerjasama, bertolak ansurkah?!
Jika berjiran hormati jiran atau tidak, selalu memberi bantuan atau sebaliknya, berlapang dada dengan jiran atau tidak, jiran susah dibantu atau tidak.
Seterusnya masyarakat sekampung bagaimana pula?!Masyarakat sekampung adakah kita prihatin kehidupan mereka, bekerjasama, berkasih-sayang, ziarah-menziarahi di waktu lapang.
Jika ada tugas atau jawatan didalam kerajaan atau swasta sudahkah kita menyempurnakan tugas itu dengan baik?! Khidmat kita serius atau sambil lewa, bersungguh-sungguh atau bermalas-malas sahaja.
Jika kita masuk mana-mana jemaah sudahkah kita menyumbang untuk jemaah, berkasih sayang sesama ahli, bekerjasama menguatkan jemaah.
Begitulah sepatutnya kita koreksi diri kita di dalam masa setahun di dalam semua bidang, untuk ukuran jika cemerlang diteruskan, jika malang jangan diulang, yang cacat ditampal, yang baik diteruskan, yang belum wujud difikirkan dan untuk tindakan.

Jika semua warganegara berfikiran begini, setiap tahun muhasabah diri yang rosak dibetulkan, yang berlubang ditampal, yang kurang ditambah, yang baik diteruskan bahkan lebih dibaiki lagi.

Begitulah setiap tahun terus menerus hingga dekad ke dekad dan seterusnya. Natijahnya, bangsa dan negara maju, berkasih sayang, bekerjasama, Tuhan disembah, berakhlak mulia. Berlakulah tamadun jasmani, maknawi dan rohani pada bangsa kita. Bangsa kita bukan sahaja kuat di dalam negara tapi akan jadi empayar dunia.

Begitulah bangsa yang benar-benar bertanggung jawab apabila setahun hilang. Bukan setahun yang datang sibuk memikirkan bagaimana hendak berpesta atau membuat keramaian. Marilah kita tukar cara berfikir, mengubah sikap, dan memikirkan yang akan datang, bukan asyik berslogan, berpesta, berperayaan, berfoya-foya dan berangan-angan.

05 December, 2005

JIHAD BUKAN MEMBUNUH TETAPI MEMBANGUN PERADABAN

Jihad sudah dipesongkan (disalahertikan) dan dipersempit ertinya jihad dengan perjuangan bersenjata untuk membela diri atau membunuh musuh. Kebanyakan orang mengertikan bahawa yang di maksud dengan berjihad adalah berperang untuk membela agama Allah, bangsa dan negara. Banyak di antara mereka yang tidak mengerjakan solat dan puasa, tidak menutup aurat atau sampai meninggalkan solat dan puasa demi berperang melawan musuh. Dalam kefahaman mereka kalau mereka mati dalam perang melawan musuh itu, maka mati syahid walaupun tidak mengerjakan solat.

Maka timbullah berbagai kelompok umat Islam yang menggunakan kekerasan dan senjata sebagai alat perjuangan mereka untuk membunuh manusia lain dengan dalih membela umat Islam yang tertindas di mana-mana. Kadang kala yang terbunuh itu manusia-manusia yang tidak berdosa termasuk umat Islam sendiri. Inilah akibat salah faham tentang makna jihad. Tentu saja musuh-musuh Islam sangat menyukai hal ini karena ada alasan bagi mereka untuk melabelkan kelompok umat Islam tersebut sebagai kelompok pengganas atau teroris. Umat Islam dicurigai di mana-mana. Imej Islam menjadi sedemikian buruk dan di sisi lain banyak umat Islam yang ketakutan untuk mengamalkan Islam dan lebih-lebih lagi memperjuangkannya

Pengertian Jihad

Sebenarnya bukan itu makna jihad. Berperang hanya satu bahagian kecil dari jihad dan dibuat apabila sudah tidak ada alternatif lain. Erti jihad menurut Islam adalah bersungguh-sungguh memerah tenaga, akal fikiran bahkan jiwa raga serta segala kekuatan-kekuatan lahir seperti ekonomi, harta kekayaan, pangkat, jabatan, pengikut dan lain-lain untuk menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini.

Pengertian jihad ini sebenarnya terlalu luas. Kata jihad ini berasal dari bahasa Arab dan sekarang sudah menjadi bahasa internasional. Setiap orang Islam ataupun bukan Islam apa pun kaum dan bangsanya sekarang ini banyak menyebut kata jihad. Orang Cina, Islam, Eropah pun faham menyebut jihad. Begitu juga orang Melayu, Indonesia, Pakistan dan orang Arab sendiri. Kata jihad sudah menjadi bahasa bersama umat Islam dan bukan Islam di seluruh dunia.

Istilah jihad ini berasal dari bahasa Arab. Kalau diterjemahkan ke bahasa Melayu secara `word by word` atau `lafzan bil lafzi` kata jihad ini bermaksud sungguh-sungguh, bukannya berjuang. Kata jihad ini berasal dari perkataan jahada, yajhudu, juhdan atau jihadan.

Jahada artinya dia bersungguh-sungguh.
Ajhadu artinya dia sedang atau akan bersungguh-sungguh.
Jihadan artinya kesungguhan. Juhdan - kesungguhan.
Jihad ertinya bersungguh-sungguh.

Jadi pengertian jihad mengikut istilah ialah bersungguh-sungguh mengeluarkan tenaga yang ada dalam diri seseorang itu baik tenaga lahirnya mahupun batinnya, tenaga akal, tenaga jiwa, tenaga fiziknya, digunakan untuk menegakkan sesuatu yang akan diperjuangkan dan bergantung dengan niat masing-masing. Orang sosialis sudah tentu akan menggunakan tenaganya untuk menegakkan fahaman sosialis. Orang komunis untuk fahaman komunisnya. Orang kapitalis untuk faham kapitalisnya. Orang nasionalis dengan faham kebangsaannya. Dan bagi orang Islam yang memiliki cita-cita Islam, dengan tenaga yang ada, dia perah tenaga lahir dan batin digunakannya untuk menegakkan Islam atau untuk menegakkan kalimah Allah.

Jihad ertinya bersungguh-sungguh iaitu bersungguh-sungguh memerah tenaga yang ada pada diri kita ini baik tenaga lahir mahupun batin untuk menegakkan apa yang kita cita-citakan. Kalau kita sebagai orang Islam yang ada cita-cita Islam tentulah hendak menegakkan Islam. Orang lain tentulah ada niat-niatnya tersendiri pula.

Jadi erti Jihad itu sendiri pada asalnya bersungguh-sungguh. Oleh karena orang bersungguh-sungguh ini adalah orang yang berjuang, yang sibuk ke hulu ke hilir, tidak peduli siang ataupun malam, sibuknya lebih sibuk daripada orang lain, maka sebab itu ianya diterjemahkan yang asalnya "bersungguh-sungguh" kepada "perjuangan".

Sebab orang berjuang ini adalah orang yang bersungguh-sungguh menggunakan tenaga yang ada dalam diri. Orang yang tidak berjuang, kurang menggunakan tenaga yang ada dalam dirinya tetapi hanya sekadar saja yang digunakan. Tapi kalau orang yang berjuang, dia akan berhempas pulas, dia perah betul-betul tenaga yang ada dalam dirinya, baik tenaga fizik, tenaga otak, tenaga jiwanya untuk digunakan menegakkan cita-citanya. Jadi orang berjuang saja yang bersungguh-sungguh. Sebab itulah bersungguh- sungguh itu diertikan seperti mana yang kita faham "Perjuangan" dalam bahasa Arab `Jihad’.