Minda Mujaddid

23 December, 2004

Militant

MILITAN & JALAN PENYELESAIANNYA
(Susunan: Mej (B) Abu Dzar)

Istilah militan selalunya tidak digunakan terhadap
individu walaupun individu itu bersikap ganas atau
militan. Ia lebih ditujukan kepada kelompok yang
bertindak terhadap musuhnya secara ganas yang boleh
menyebabkan kecederaan, kematian dan kemusnahan harta
benda dan yang menimbulkan kebimbangan dan ketakutan
di kalangan musuhnya.

Takrif militan

Sesuatu kelompok yang dikatakan militan itu ialah yang
membawa sesuatu ajaran, sama ada yang berdasarkan
agama atau ideologi, yang ada pemimpin dan yang dasar
perjuangannya ialah untuk mengajak atau menyuruh
pengikut-pengikutnya bertindak terhadap musuh-musuh
atau lawannya bila ada peluang sama ada secara fizikal
atau dengan senjata.

Kalau sesuatu kelompok itu, ajaran dan kepimpinannya
tidak mengajak atau tidak mendorong pengikutnya
berlaku kasar pada musuhnya dan kalau berlaku pun
hanya secara individu yang bukan diarah dan yang
bertindak secara bersendirian tanpa diketahui oleh
pemimpin atau kelompoknya, maka kelompok itu tidak
boleh dikatakan militan.

Juga kalau satu-satu kelompok itu menyerang dan
menentang musuhnya tidak secara fizikal atau tidak
dengan menggunakan senjata tetapi hanya dengan membuat
komen, kritikan dan teguran melalui kata-kata yang
kesat, maka itu hanya boleh dikatakan kasar, bukan
militan.


Militan dan sebab-sebabnya

Sebelum kita memperkatakan tentang militan dan
sebab-sebabnya, mari kita terlebih dahulu
memperkatakan tentang manusia dan tabiat-tabiat
semulajadinya. Iaitu sifat-sifat positif dan negatif
yang lahir secara semulajadi daripada manusia itu
sendiri.

Manusia sama ada secara individu mahupun secara
berkelompok, sama ada kelompok itu berdasarkan bangsa,
etnik, kelompok agama atau kelompok yang mempunyai
satu cita-cita, dapat melahirkan sifat baik atau jahat
atau dapat bersikap negatif atau positif hasil
daripada kepimpinan, pendidikan, pelajaran yang diajar
atau keyakinan dan pegangannya atau hasil daripada
pengaruh suasana dan alam sekeliling sama ada tempat
tinggal atau suasana masyarakatnya.

Sedangkan benih-benih semulajadi yang Tuhan jadikan
pada manusia itu seperti sifat-sifat malaikat, haiwan
dan syaitan akan hidup subur dan akan bertindak dalam
kehidupan masyarakat hasil dari kepimpinan,
pendidikan, pelajaran, keyakinan dan pegangan
masyarakat itu atau akan disuburkan oleh suasana dan
alam sekeliling.

Manusia yang lahir di kawasan pergunungan tentu
berlainan watak dan sikapnya dari manusia yang duduk
di bandar. Begitu juga manusia yang duduk di kampung,
wataknya tidak akan sama dengan manusia yang duduk di
padang pasir atau di hutan. Ini kerana suasana tempat
tinggal boleh membantu mencorak manusia. Contohnya,
secara sepintas lalu, orang yang duduk di gunung,
padang pasir atau hutan mempunyai sifat yang tangkas,
lasak dan berani. Orang yang lahir di kampung berwatak
sederhana dan agak lembut. Yang duduk di bandar pula
tidak tahan diuji dan tidak tahan susah sebab
dilahirkan dalam suasana mewah dan selesa. Bahkan
beraninya pun tidak sama. Inilah perbezaan sifat yang
saya maksudkan yang disebabkan oleh pengaruh suasana
dan alam sekeliling.

Walaupun begitu, manusia yang lahir daripada
kepimpinan, pendidikan, pelajaran dan yang mempunyai
keyakinan dan pegangan mempunyai sifat-sifat yang
lebih kuat dan teguh sama ada yang negatif mahupun
yang positifnya. Sifat-sifat ini sukar untuk diubah.
Berbeza dengan manusia yang dibentuk oleh suasana dan
alam sekeliling, sifat-sifat mereka ini tidak teguh
dan tidak kuat mencengkam. Tukar tempat pun sudah
berubah.

Begitulah gambaran semulajadi manusia yang melahirkan
sifat negatif atau positif. Perkara baik dan buruk
sudah ada. Cuma hasil didikan dan pengaruh alam
sekeliling akan menyuburkan sifat-sifat sama ada yang
baik atau pun yang buruk itu.

Mari kita kembali kepada tajuk militan.

Kalau sesuatu kelompok atau orang yang duduk di
padang pasir atau di gunung-gunung melahirkan sifat
kasar dan keras hati, ini berlaku bukan dengan niat.
Dia sendiri pun tidak sedar. Dia tidak berniat untuk
berlaku kasar. Apabila bertemu dengan orang bandar,
agak susah untuk bergaul kerana dia kasar. Ini tidak
boleh dikatakan militan.

Kelompok yang duduk di kampung yang dipenuhi dengan
pokok-pokok yang menghijau, berwatak lemah lembut,
tenang dan tingkah laku mereka sederhana. Tentu agak
senang sedikit bergaul dengan orang bandar sebab dia
tidak merempuh. Kelompok ini tidak pula boleh
dikatakan baik. Alam sekitar yang membuatnya jadi
begitu. Baik yang macam ini tidak tahan diuji. Bila
dicabar, kebaikan ini akan hilang dalam sekelip mata.
Kelompok ini hanya dididik oleh alam sekitar dan bukan
melalui kepimpinan.

Ada setengah kelompok, oleh kerana suasana yang
mendidiknya, dia menjadi lembut. Akan tetapi dia tetap
tabah dan tahan uji apabila dicabar macam orang-orang
Asli. Mereka ini tahan lasak, tabah dan cergas.

Biasanya orang atau kelompok yang jadi militan ialah
yang ada cita-cita, yang ada ideologi, yang ada
pimpinan, ajaran, keyakinan dan pegangan sama ada
ianya berdasarkan agama, ideologi atau rasa sakit hati
kepada sesuatu golongan yang lain. Kelompok yang tidak
ada pimpinan, yang hanya dididik oleh suasana dan alam
sekitar, biasanya tidak akan menjadi militan. Mereka
hanya akan menjadi kasar dan keras hati. Kalau berlaku
pun, bukan secara jemaah atau kelompok tetapi secara
individu.

Sebab-sebab sesuatu kelompok menjadi militan

1. Kelompok atau puak yang mempunyai ajaran yang
mengajar dia menjadi militan seperti ajaran komunis.
Ajaran itulah yang menjadikan kelompok itu militan
atau komunis.

2. Ada kalanya satu kelompok itu, ajarannya tidak
militan. Tetapi oleh kerana dia berhadapan dengan
musuh yang dia sangat marah, maka dia jadi militan.
Militan seperti ini tidak sekuat militan hasil dari
ajaran.

3. Ada kelompok yang asalnya tidak militan tetapi
terpaksa berhadapan dengan musuh yang militan. Maka
dia pun jadi militan.

4. Kelompok yang asalnya tidak militan tetapi sengaja
musuh hantar orang-orangnya ke dalam kelompok itu
untuk menghasut mereka menjadi militan supaya boleh
dituduh sebagai militan dan ada sebab untuk ditekan.

5. Sesuatu kelompok itu akan menjadi lebih militan
lagi apabila:
a) Didorong oleh ajarannya
b) Didorong oleh pengaruh alam sekitar
Bila asalnya sudah kasar dan ajarannya pula kasar,
maka kelompok seperti ini akan menjadi lebih kasar dan
militan.

6. Ada kelompok di dalam sesebuah negara yang
menentang negaranya tetapi asalnya tidak militan.
Mereka hanya memberi nasihat dan pandangan pada
kerajaan negaranya. Tetapi disebabkan kerajaan itu
berkasar kepada mereka atau ada negara luar yang
membekalkan senjata kepada mereka, maka mereka terus
jadi militan.

7. Sesetengah negara yang kuat, kerana ada kepentingan
yang tertentu, mempengaruhi kelompok atau kumpulan di
negara lain untuk menentang kerajaannya secara militan
supaya dia boleh campur tangan.

Biasanya tuduhan militan itu ditujukan kepada kelompok
atau puak yang belum mendapat kuasa. Mereka itu
mungkin ada cita-cita untuk menumbangkan kerajaannya.
Sekiranya kerajaan tersebut berlaku kasar terhadap
mereka dengan menggunakan kuasa polis dan tentera, ini
tidak boleh dikatakan militan terutama kalau tujuannya
ialah untuk menjaga keselamatan rakyat dan negara.
Tetapi apabila sesuatu kerajaan itu menggunakan kuasa
polis dan tentera lebih daripada hadnya atau bertindak
kerana tidak suka kepada sesuatu puak atau kelompok
walaupun mereka tidak militan, ataupun mereka sengaja
dituduh militan supaya boleh ditindak dan ditekan, ini
juga tidak boleh dikatakan militan tetapi zalim atau
menyalahguna kuasa.

Militan tidak semestinya salah, jahat atau negatif.
Kalau sesuatu puak itu diserang dan dizalimi dan puak
tersebut bertindakbalas secara bersenjata untuk
mempertahankan diri dan haknya, itu adalah tindakan
militan yang dibolehkan.

Jalan penyelesaian

Dunia hari ini sibuk memperkatakan tentang militan. Di
sesetengah negara, pemimpin-pemimpin mereka sampai
pening-pening kepala memikirkan tentang militan ini.
Lebih-lebih lagi setelah berlakunya peristiwa 11
September yang lalu, soal militan ini tambah dipandang
serius oleh dunia, tidak kira dunia Islam mahupun
dunia bukan Islam. Hingga Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu (PBB) pun membincangkannya.

Yang sebenarnya, bukan hanya isu militan ini sahaja
yang dihadapi oleh dunia pada waktu ini.
Berbagai-bagai isu lain turut mengancam dunia. Tetapi
oleh sebab isu militan ini lebih bahaya dan lebih
menakutkan, itu sebab ia diberi lebih perhatian oleh
dunia.

Tambahan pada itu, masalah militan ini membawa satu
dimensi baru yang sangat mencabar para pemimpin dunia.
Disamping ianya bahaya dan menakutkan, ianya juga
rumit dan berat untuk diselesaikan. Kerana para
militan ini ialah orang-orang yang berani mati.
Orang-orang yang memang hendak mati. Mereka ini rela
membunuh diri. Kalau diri sendiri pun sanggup dibunuh,
membunuh orang lain senang sahaja.

Kalau para militan ini tak berani mati, lebih-lebih
lagi kalau mereka takut mati, tak apa juga. Banyak
perkara boleh diusahakan untuk mencegah kegiatan
mereka, untuk menghalang, mengancam dan menakutkan
mereka. Tapi kalau matipun mereka sudah tidak takut,
apa benda lagi dalam dunia ini yang boleh menakutkan
mereka? Bukankah mati itu perkara yang paling dibenci
dan ditakuti oleh manusia. Oleh itu para militan ini
tidak makan saman. Tidak takut diugut. Tidak takut
diancam. Tidak takut dihukum. Tidak takut dibunuh dan
tidak makan suap. Dalam ertikata yang lain, mereka ini
tidak mudah hendak dibendung. Bagaimana hendak
menghadapi manusia yang berani mati ini? Inilah
perkara yang merisaukan dan memeningkan kepala para
pemimpin dunia.

Dunia hari ini hendak mengugut manusia dengan
undang-undang dan hukuman. Tetapi kalau manusia sudah
berani mati, diugut dengan hukuman apapun tidak ada
makna apa-apa. Kalau hukuman pun sudah tidak memberi
apa-apa makna, apa ertinya undang-undang. Bukankah
kekuatan undang-undang itu terletak pada hukumannya.

Nyatalah bahawa hendak membaiki, mengawal dan
membendung manusia termasuk golongan yang militan ini
dengan undang-undang dan hukuman sudah tidak berkesan.
Kalau begitu, apakah kaedah yang terbaik untuk
membaiki golongan militan ini? Mesti ada kaedah. Mesti
ada ubat. Mesti ada jalan penyelesaian.

Apakah jalan keluar?

Jalan ahli fikir dan ahli filasuf yang digunakan
selama ini sudah menemui jalan buntu. Ia jelas tidak
mampu lagi untuk menangani masalah ini. Malahan bukan
sahaja ia tidak mampu, bahkan semakin lama ia semakin
memburukkan keadaan dan membuatkan masalah ini
bertambah serius dan rumit. Tidak ada jalan lain,
melainkan kembali kepada jalan dan cara yang telah
ditunjukkan oleh para Rasul.

Manusia perlu diajak mengenali Tuhan. Bukan sekadar
percaya sahaja tetapi mengenali Tuhan. Ramai manusia
tidak kira apa bangsa percaya Tuhan itu ada tetapi
mereka tidak merasakan begitu. Mereka tidak rasa dan
tidak perasan bahawa Tuhan itu ada. Mereka tidak
merasakan bahawa Tuhan itu ada peranan dalam hidup
mereka. Mereka hanya tahu dan percaya. Manusia sudah
tidak pedulikan Tuhan lagi. Mereka rasakan Tuhan sudah
tidak relevan lagi dalam hidup mereka. Mereka sudah
lupa Tuhan. Mereka sudah kehilangan Tuhan. Hakikatnya,
ada atau tidak Tuhan itu, sama sahaja kesannya pada
mereka.

Bila kenal Tuhan barulah jiwa hidup. Barulah hati
dapat merasakan Tuhan itu berkuasa, menghidupkan,
mematikan, menghukum, memerhati, melihat, menjaga,
melindung, memelihara, memberi nikmat, memberi rahmat
dan mendatangkan nikmah (bala). Barulah hati dapat
merasakan bahawa Tuhanlah yang mewujudkan dunia ini.
Tidak ada satu habuk pun yang tidak ada campurtangan
Tuhan.

Kuasa Tuhan, bila Dia kata jadi – maka jadilah. Bila
Dia kata hidup – hiduplah. Bila Dia kata mati –
matilah. Bila Dia kata sihat – sihatlah. Bila Dia kata
sakit – sakitlah. Itulah dia, Tuhan yang mencipta
langit dan bumi dan juga manusia. Bila rasa-rasa ini
dihayati, manusia akan cinta dan takut kepadaNya.

Itu baru sedikit sifat-sifat yang ada pada Tuhan.
Padahal sifat-sifat kesempurnaan Tuhan itu tidak
terhingga banyaknya. Kalau hati-hati manusia sudah
begitu sekali dapat merasakan kehebatan Tuhan, baru
akan datang rasa cinta dan takut. Hendak buat
sekecil-kecil perkara pun, dia akan tanya Tuhan.
Inilah ubat pertama dan utama kepada penyakit-penyakit
yang dihadapi oleh manusia. Soal-undang-undang,
peraturan dan hukuman jatuh nombor dua.

Kalau manusia sudah cinta dan takutkan Tuhan, manusia
tidak akan berani lagi melakukan perkara-perkara yang
negatif dan menyusahkan. Kalau ada Tuhan, orang kafir
pun akan jadi baik. Setidak-tidaknya di dunia.Orang
yang berani mati yang sudah tidak takut lagi dengan
ancaman dunia pun akan berubah bila berhadapan dengan
rasa takut dengan Tuhan dan ancaman akhirat.
Undang-undang dan peraturan bukan tidak perlu. Itu
jalan terakhir. Ia hanya sesuai untuk mengawal manusia
yang sudah rosak fitrah mereka dan sudah terlalu jahat
hingga tidak terkesan lagi dengan Tuhan.

Oleh itu, salah sekalilah konsep mendidik dan membaiki
manusia hanya dengan undang-undang dan peraturan.
Undang-undang dan peraturan manusia sendiri yang buat.
Orang yang membuat undang-undang itu pun banyak buat
kesalahan. Yang mempunyai kuasa pun jahat. Mana boleh
orang jahat mendidik orang lain jadi baik. Mana boleh
orang yang sesat jalan menunjukkan jalan yang betul
pada orang lain.

Kalau rujuk dengan Tuhan, Tuhan akan bersama kita.
Rakyat dan orang-orang besar, Tuhan yang jadikan.
Kalau rakyat takut, orang-orang besar juga akan takut.
Akhirnya orang kecil dan orang besar sama-sama
takutkan Tuhan. Inilah jalan keselamatan, kedamaian
dan keharmonian buat manusia.

Kalau begitu, dunia hari ini perlu mempromosikan
Tuhan. Supaya manusia cinta dan takut padaNya. Inilah
formula yang paling berkesan yang boleh menyelesaikan
segala masalah manusia dan masyarakat.

Siapakah yang akan mempromosikan Tuhan?

Tentulah orang Tuhan. Tentulah orang yang kenal Tuhan,
yang ada rasa bertuhan dan yang cinta dan takut dengan
Tuhan. Kerana manusia ini , sama ada baik atau jahat
adalah hasil dari didikan, ilmu dan pimpinan. Manusia
tidak akan dapat menghayati sesuatu perkara kecuali
melalui pendidikan. Memperbaiki manusia mesti melalui
pendidikan.

Siapakah yang akan mendidik?

Memang sudah menjadi fitrah semulajadi manusia, kalau
orang yang mendidik tidak ada wibawa, pendidikannya
tidak akan efektif dan tidak akan memberi kesan. Orang
akan ambil ilmunya tetapi ilmu itu tidak akan
dihayati. Orang boleh belajar darinya tapi dia tidak
dihormati. Dia tidak dicontohi. Mendidik orang mesti
ada wibawa. Pemimpin yang hendak mengajak manusia
supaya cinta dan takut dengan Tuhan mesti terlebih
dahulu cinta dan takut dengan Tuhan. Dia mesti
mempunyai wibawa yang tinggi. Barulah ilmu yang
diajarnya boleh dihayati.

Orang yang hendak memimpin manusia mesti ada wibawa.
Dalam ertikata yang lain, dia mesti ada akhlak. Dia
mesti bersifat adil, berkasih sayang, pemurah,
mengutamakan orang lain, tidak mementingkan diri,
tidak memikirkan kroni dan tidak zalim. Kalau
ciri-ciri ini tidak ada, dia tidak ada wibawa.
Pimpinannya tidak berkesan. Cakapnya tidak didengar
orang. Dia tidak dihormati. Orang dengar tapi tak
ikut. Pemimpin yang tidak ada wibawa, ajarannya,
walaupun baik tidak memberi kesan apa-apa. Kalau
mereka memimpin golongan yang militan, lagi-lagilah
golongan ini akan dengki, benci dan sakit hati pada
mereka. Mereka akan ditolak. Kalau golongan militan
sudah rasa begitu, siapa lagi yang akan mendidik dan
memperbaiki mereka?

Dalam dunia ini para pemimpin jangan fikir hendak
memperbaiki rakyat sahaja. Jangan fikir masalah
militan sahaja. Mereka mesti perbaiki diri.
Kadang-kadang sedar atau tidak, pemimpin yang jahatlah
yang menyumbang kepada manusia menjadi jahat. Sebab
itu kalau rakyat sudah jadi jahat, para pemimpin mesti
muhasabah diri masing-masing. Rakyat itu adalah
bayangan pemimpin.

Kalau pemimpin sudah jahat, macam mana hendak didik
rakyat. Mana mungkin orang jahat boleh mendidik orang
lain jadi baik. Tambahan lagi, siapa pula nanti yang
akan mendidik para pemimpin yang jahat ini.

Dunia, tidak kira apa bangsa, mesti berdoa
banyak-banyak kepada Tuhan, supaya Tuhan tunjukkan
kita pemimpin yang ada rasa bertuhan, yang cinta dan
takut dengan Tuhan, yang ada wibawa, yang orang ramai
hormati, bahkan yang para pemimpin pun hormati.
Pemimpin seperti inilah sebenarnya yang layak memimpin
rakyat dan para pemimpin. Ketika itu barulah masalah
dunia akan selesai.

Seperti apa yang berlaku kepada kaum Yahudi di zaman
Nabi Allah Samuel. Mereka ditekan dan dizalimi oleh
penguasa Rom. Di kala itu mereka tidak mempunyai
seorang pemimpin yang layak dan cukup berwibawa untuk
memimpin dan menyelamatkan mereka. Maka
pembesar-pembesar kaum Yahudi tersebut bersepakat
berjumpa Nabi Samuel dan meminta beliau mendoakan
supaya Tuhan menunjukkan seorang pemimpin di kalangan
mereka. Nabi Samuel pun mendoakan.

Tuhan melantik Tholut. Tholut bukan seorang bangsawan.
Dia bukan seorang pembesar. Dia bukan seorang pendita
atau seorang yang terpelajar. Dia juga tidak kaya. Dia
hanya seorang petani yang bertani di hujung kampung
yang terpencil dan tidak dikenali orang. Dialah
pilihan Tuhan. Ini mengejut dan mengecewakan golongan
bangsawan dan pembesar kaum Yahudi tersebut. Mereka
sangka Tuhan akan pilih seorang pemimpin di kalangan
mereka. Tetapi bagi Tuhan, kriteria seorang pemimpin
bukan darjat, bukan status, bukan kekayaan, bukan
semata-mata ilmu, bukan pengaruh dan bukan kedudukan.
Tholut dipilih kerana dia seorang yang bertaqwa, yang
kenal Tuhan dan yang cinta dan takut dengan Tuhan. Dia
berwibawa dan berakhlak tinggi. Dia mempunyai
ciri-ciri dan sifat-sifat kepimpinan yang tidak ada di
kalangan para pembesar dan para bangsawan kaum Yahudi
berkenaan.



08 December, 2004

Cari Makan Dengan Agama

25.11.2004
Menjelang Asar

Orang yang mencari makan dengan ilmu dunia kita tidak hairan
Kerana agak munasabah dunia beli dunia, dunia untuk dunia,
kepentingannya hanya di dunia
Tapi cari makan dengan ilmu Akhirat (Islam) dan kerja-kerja Islam
ini sangat menghairankan
Ia sangat tidak patut, tidak sayugia dilakukan, ia adalah dilarang Tuhan
Paling tidak sudah tidak beradab dan tidak sopan dengan Tuhan
Sekarang banyak berlaku bahkan sudah lumrah berlaku mencari makan dengan yang ada hubungkaitnya dengan Tuhan
Padahal menyampaikan, mengajar, memberitahu, memperjuangkan hak-hak Tuhan adalah satu kewajipan
Ia tidak boleh dihubungkait dengan cari makan
Kecuali kerana membuat kerja Tuhan orang bagi duit, orang bagi makan,
orang beri kesenangan ia bukan satu kesalahan
Tapi bukan meminta, bukan tawar-menawar, bukan disyaratkan
Ia hanya berlaku secara kebetulan, ada orang yang hendak buat baik berilah dia balasan
Seperti berdakwah dikenakan bayaran, motivasi Islam dikena upah, mengajar Al Quran, mengajar agama, mesti dibayar
Hafiz Al Quran menjadi imam disyaratkan bayaran, menjadi imam mesti ada gaji
baca Al Quran malam Ramadhan dikenakan bayaran kerana cari makan
Jadi urusan agama sudah dijadikan gelanggang cari makan
Padahal sebenarnya kerana Tuhan dan agama sanggup berkorban bahkan terkorban
itulah sepatutnya mengikut Tuhan
Mengembang agama, ilmunya, ajarannya, amalannya adalah satu kewajipan
Orang yang pandai tidak melakukan adalah satu kesalahan
Jadi kalau urusan agama di satu peringkat nanti orang tidak bayar
aktiviti dan usaha agama mesti dihentikan
Padahal Islam wajib dikembangkan, disampaikan, diperjuangkan dan dipertahankan
Dia tidak boleh disangkutkan dengan cari makan atau kerana kesenangan
Tidak lihatkah Rasul, para Sahabat, tabiin, pejuang-pejuang Islam dahulu
kerana Islam sanggup terkorban
Adakah Rasul, Sahabat, tabiin, pejuang yang silam diberi upah dan bayar
baru menyampaikan atau baru berjuang?
Apa sudah jadi kepada umat Islam urusan agama sudah dijadikan tempat cari makan bahkan kekayaan
Sungguh malang, sungguh mendukacitakan Islam sudah terlalu dagang
Macamana kita hendak banteras sikap ini yang sudah jadi tradisi, yang sudah jadi amalan
Kalau kita perkatakan sekarang, oh akan ramai yang menentang
terutama ulama dan cerdik pandai
Amalan ini sebenarnya adalah dilakukan oleh penjajah di zaman mereka jajah umat Islam
Selepas merdeka amalan ini diteruskan dianggap satu kebaikan
Padahal mula-mula yang merosakkan fungsi Islam adalah musuh Islam
di zaman penjajahan
Takkan ulama dan umat Islam tidak faham
Mereka telah rosakkan peranan Islam, yang kita mengapa meneruskannya?
Urusan Islam telah mengikut sunnah barat bukan Sunnah Rasul akhir zaman

Ustaz Hj Ashaari Muhammad
Chairman
Rufaqa' Corporation

Mendidik Roh

26.11.2004 – 3
Menjelang tidur

Hati atau roh jika tidak terdidik nafsulah mempengaruhinya
Jika nafsu mempengaruhi setiap rasa-rasa yang datang terus subur dan berpengaruh
di dalam hati
Bila pandai atau kaya atau berkuasa atau semuanya ada datang ego, ujub dan megah
Jika orang lain lebih datang dengki dan sakit hati
Kalau dia serba kurang seperti bodoh, miskin, jawatan rendah, timbul rendah diri
Kesal pun datang, kecewa, mungkin putus asa, malu dengan orang, suka menyendiri
Sekiranya dia terkenal cantik, ramai pengikut, megah pun datang, suka dipuji
Kalau tidak dipuji sakit hati
Jika ada jasa pula minta dikenang jasanya
Kalau tidak dipuji dan tidak dikenang jasanya, dia sakit hati dan kecewa
Apabila orang menghina, mengata, dendam pun datang,
meradang dan hendak bertindak jika ada peluang
Sekiranya kita ada saingan rasa tercabar, sakit hati pun datang
Kita pun benci dan sakit hati
Kalau kita diuji dengan sakit hati sahaja, atau dengan bala bencana yang silih berganti, jiwa derita, fikiran kusut, lama-kelamaan kecewa dan putus asa
Putus asa dengan Tuhan adalah berdosa
Begitulah ceritanya hati atau roh yang tidak terdidik
Orang jahat di dalam diri iaitu nafsu mengambil peluang mempengaruhi
Akibatnya hati akan jadi jahat dengan berbagai-bagai sifatnya
Kerana itu di dalam kehidupan kita jika ada orang yang jahat membuat jahat
Orang akan berkata: “Jahat hatinya, hati tidak bertimbang rasa, hati busuk,
orang yang tidak ada hati.”
Padahal hati jahat didorong oleh nafsunya
Orang tidak pula kata jahat nafsunya, busuk betul nafsunya, nafsu tidak bertimbang rasa
Jadi setiap kejahatan sasarannya adalah hati, didiklah hati, nafsu
dan dapat mempengaruhinya

Ustaz Hj Ashaari Muhammad
Chairman
Rufaqa' Corporation

Dakwah atau Dakyah

17.11.2004
Waktu Dhuha

Berdakwah memanglah salah satu aspek daripada jihad
Jihad adalah kerja yang mulia, besar pahalanya di sisi Allah Tuhan kita
Di akhir zaman ini berdakwah payah hendak jadi salah satu aspek jihad
Kerana ia adakalanya bersifat dakyah
Melalui berdakwah jadi megah
Berdakwah adakalanya mencari nama, ingin popular dan glamor
Di akhir zaman sering saja berdakwah tujuan mencari makan dan upah
Berlaku juga dakwah dijadikan gelanggang politik
Hentam orang itu, hentam orang ini
Umpat orang itu, umpat orang ini
Mengata di sana mengata di sini
Pecah ukhwah, retak kasih sayang, datanglah permusuhan
Jadi dakwah bukan menepati nasihat lagi
Bukan menyedarkan dan menginsafkan orang ramai
Tapi meliarkan orang, bertambah orang lari dari Tuhan
Kerana si pendakwah bukan orang yang bertaqwa
Bukan orang yang insaf dan yang sedar
Tapi emosi, kerana sakit hati
Berdakwah melepaskan geram dan marah
Bukan membawa kepada Tuhan tapi membawa kepada diri atau parti
Jadi pendakwah sekarang sudah jadi bala dan merbahaya sekali

Ustaz Hj Ashaari Muhammad
Chairman
Rufaqa' Corporation