Minda Mujaddid

23 January, 2006

Kenapa selama ini ibadah tidak mendidik kita?

Sebab pertama ialah kerana selama ini kita diberi ilmu tentang ibadah hanya yang bersangkut-paut dengan hukum-hakamnya sahaja iaitu tentang syarat, rukun, sah dan batalnya sahaja. Oleh itu dalam ibadah, itulah perkara yang kita jaga sangat-sangat dan tidak lebih dari itu. Ilmu lain tentang ibadah termasuk falsafahnya tidak diajar. Kefahaman tidak diajar. Penghayatan tidak diajar. Hasilnya segala ibadah yang kita buat, kalaupun sah dan cukup syarat rukunnya, tetapi tidak dapat dihayati.

Apabila ibadah tidak dihayati, maka rugilah kita kerana ibadah kita itu tidak mendidik kita. Hati kita tidak berubah walaupun kita sudah beribadah berpuluh-puluh tahun lamanya malahan sepanjang hidup kita. Ibadah kita tidak menjadi makanan bagi jiwa. Ia tidak membentuk dan menguatkan jiwa kita. Ia tidak menambahkan taqwa kita. Lebih malang lagi, ibadah kita itu tidak sampai kepada Tuhan.

Ilmu ibadah yang kita belajar selama ini tidak langsung menyentuh soal roh ibadah atau hikmah dalam ibadah. Sebab itu kita lihat, orang yang banyak ibadah dan banyak sembahyang, ibadah dan sembahyang mereka tidak memberi apa-apa kesan di dalam diri dan hati mereka. Akhlak mereka tidak banyak berubah. Bahkan orang yang banyak ibadah dan sembahyang selalunya menjadi beku, jumud, pasif dan tidak produktif.

Kedua adalah kerana kebanyakan orang tidak ada ilmu dan tidak faham tentang Tuhan. Oleh sebab itu ibadah mereka tidak memberi kesan. Ibadah termasuk sembahyang bukan untuk mengajar atau memahamkan manusia tentang Tuhan. Manusia sepatutnya sudah ada ilmu dan sudah faham tentang Tuhan sebelum mereka beribadah atau sebelum mereka sembahyang. Ibadah dan sembahyang itu hanya untuk mengingatkan dan menyedarkan manusia tentang Tuhan sebab manusia itu sering lupa.

Ibadah dan sembahyang hanya akan memberi kesan kepada orang yang sudah ada ilmu dan faham tentang Tuhan. Orang yang tidak faham Tuhan, ibadah dan sembahyangnya tidak ada erti apa-apa. Dia tidak akan dapat rasa bertuhan dalam ibadahnya kerana dia tidak tahu dan tidak faham Tuhan. Itu sebab sebelum kita bersyariat, Tauhid kena selesai dahulu. Hadis ada menyebut, "Awal-awal agama mengenal Allah."

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]



<< Home